‘Terima Kasih PM’
SERI NEGERI 24 Ogos – Kerajaan Negeri Melaka menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana telah meluluskan peruntukan untuk pembangunan Negeri Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan itu adalah bagi memastikan pembangunan dan sektor pelancongan terus dipacu dan membangun dengan pesat.
“Antara peruntukan itu adalah, menerima sebanyak 209 projek pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM662.457 juta dengan pecahan sebanyak 59 projek baharu dan 150 projek sambungan bagi tahun 2023.
“Selain itu, Kerajaan Persekutuan turut meluluskan peruntukan RM25 juta bagi memelihara dan memulihara tapak Warisan Dunia Melaka, selain melaksanakan pengumuman awal mengenai kelulusan RM5 juta untuk promosi Tahun Melawat Melaka (TMM2024),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Ucapan Taat Setia Ketua Menteri Melaka Sesi Pertama Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-74 Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ab Rauf yakin hubungan erat dan kukuh antara Kerajaan Perpaduan Negeri Melaka dan Kerajaan Persekutuan mampu menjadikan Melaka sebagai negeri terbilang seperti zaman dahulu.
“Ditambah dengan usaha yang berterusan, Negeri Melaka mampu muncul sekali lagi sebagai negeri yang hebat seperti gambaran di Zaman
Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka suatu ketika dahulu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.