‘Terima kasih MPAG kerana prihatin nasib peniaga’
TANJUNG BIDARA 1 Sept. – Peniaga di Medan Selera Pengkalan Balak, di sini yang dibebani masalah bumbung bocor sejak tiga bulan lalu, hari ini menarik nafas lega apabila kerja pembaikan dibuat.
Jika sebelum ini Alias Ahmad, 57, terpaksa mengalihkan tempat menghidang pelbagai jenis lauk agak jauh dari siling yang bocor, kini beliau tidak lagi perlu berbuat demikian.
“Alhamdulillah, saya harap selepas ini tiada lagi pelanggan di gerai saya terpaksa makan dengan menggunakan payung untuk mengelak terkena titisan hujan dan tempias.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) kerana prihatin terhadap aduan saya dan peniaga lain di Medan Selera Pengkalan Balak ini,” katanya.
Beliau berkata, sejak bumbung bangunan milik MPAG itu terkopak akibat dilanda ribut kira-kira tiga bulan lalu, beliau terpaksa meletakkan tempat menghidang lauk-pauk agak jauh dari lot gerainya.
Beliau bernasib baik kerana lot gerai bersebelahan gerainya kosong dan boleh digunakan untuk meletakkan tempat menghidang pelbagai jenis lauk bagi mengelakkan terkena titisan hujan dan tempias yang turun dari bumbung yang terkopak.
Katanya, berikutan keadaan bumbung yang tidak sempurna, hujan yang membasahi siling gerainya menitis ke meja pelanggan dan menyebabkan pelanggan yang berada di sekitar kawasan siling yang bocor, terpaksa menggunakan payung.
“Saya harap bumbung baru yang dipasang hari ini mampu bertahan lama dan memberikan perlindungan yang lebih baik untuk pelanggan,” katanya ketika ditemui di medan selera berkenaan hari ini.
Sementara itu, dua pekerja kontrak menjalankan kerja menggantikan bumbung yang terkopak bagi memastikan pelanggan mampu menikmati makanan dan minuman dengan sempurna.
Medan selera berkenaan hanya kira-kira 10 meter dari pantai peranginan Pengkalan Balak yang menerima kunjungan ramai pelancong, terutama pada hujung minggu, sekali gus menjadikannya sebagai bangunan yang terdedah kepada angin kencang.
Alias berkata, ada enam lot gerai di medan selera berkenaan tetapi hanya gerainya yang terjejas akibat kebocoran bumbung selepas dipukul ribut.
Sehubungan itu beliau berharap keadaan gerai yang lebih baik bakal mendorong kehadiran lebih ramai pelanggan, terutama pada hujung minggu.