Terima kasih kepada semua – Abdul Qahhar
KUALA LINGGI 9 April – “Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu, termasuk Melaka Hari Ini (MHI) kerana prihatin terhadap nasib insan kurang bernasib baik seperti saya,” kata Abdul Qahhar Idris, 31.
Lelaki yang kecewa kerana gagal mendapatkan pekerjaan selepas 10 kali menghadiri temuduga itu berkata, susulan laporan berita mengenai nasibnya disiarkan MHI 2 April lalu beberapa pihak tampil memberikan sumbangan termasuk wang tunai.
Dia juga tersentuh apabila rakan belajar bersamanya di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Melaka turut tampil menghulurkan sumbangan kerana bersimpati dengan nasibnya.
“Kami belajar bersama-sama dalam bidang telekomunikasi di ADTEC dan sebaik sahaja membaca laporan berita itu, mereka menghubungi saya dan meminta nombor akaun bank.
“Saya katakan, tidak perlu bersusah-payah. Namun mereka berkeras mahu menghulurkan sumbangan untuk dua anak lelaki saya berusia enam bulan dan tiga tahun,” katanya.
Abdul Qahhar berkata, dia tidak mampu membalas budi baik rakannya itu dan berdoa agar Allah memurahkan rezeki mereka sekeluarga.
Selain rakan, turut tampil adalah pegawai Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang berjanji membantu mendapatkan pekerjaan untuknya.
Katanya, diharapkan rezeki akan menyebelahinya bagi membolehkan dia membantu menambah pendapatan keluarga yang kini banyak bergantung kepada isteri, Siti Rohana Yazid, 31, bekerja sebagai jurutol.
Selain itu, dia juga amat berharap permohonannya untuk mengeluarkan RM10,000 Skim Pengeluaran Khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mampu direalisasikan.
Pada 2 April lalu MHI melaporkan kesempitan dilalui Abdul Qahhar selepas 10 kali cubaan untuk mendapatkan pekerjaan gagal
semata-mata kerana kakinya sudah dipasang besi akibat terbabit kemalangan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.