Terima kasih ceriakan Deepavali kami

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

PAYA RUMPUT 6 November – Derita pesakit buah pinggang kronik C Armadass, 56, mendapat perhatian SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) yang turun padang untuk bertanya khabar dan menyampaikan sedikit sumbangan sebagai persediaan menyambut Deepavali tidak lama lagi.

Lawatan itu disertai Pengurus Besar Korporat SWM Environment dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri.

Armadass yang kini terlantar berkata, setiap bulan dia perlu membelanjakan lebih RM400 untuk membeli keperluan untuk kegunaan dirinya seperti lampin pakai buang dan susu khas.

“Perbelanjaan itu tidak termasuk RM150 yang perlu disediakan setiap kali pergi menjalani rawatan dialisis. Setiap minggu saya perlu menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat kawalan keselamatan, namum semuanya berubah apabila terbabit kemalangan jalan raya ketika pulang dari tempat kerja tiga tahun lalu menyebabkan buah pinggang rosak,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Paya Rumput Permai, di sini, semalam.

Ditanya mengenai persediaan sambutan perayaan Deepavali, Armadass berkata dia hanya melakukan persiapan yang sederhana bersama keluarganya kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

“Untuk perayaan Deepavali pada tahun ini kami hanya melakukan persiapan ala kadar seperti menyediakan makanan dan pakaian, kami bersyukur masih ada pihak yang prihatin tampil menghulurkan sumbangan kali ini untuk ringankan beban keluarga.

“Biarpun belum menerima sebarang bantuan ketika ini, tetapi saya bersyukur mempunyai adik bongsu C.Jayanthi, 53, bekerja sebagai jururawat di hospital swasta. Dia banyak membantu saya dan isteri menampung perbelanjaan keluarga,” katanya.

Selain derita masalah buah pinggang kronik, Armadass turut mengalami masalah penglihatan, kencing manis dan darah tinggi.

Sementara itu seorang lagi penerima sumbangan, K. Kamachee, 74, merupakan ibu tunggal berasa gembira dengan sumbangan diberikan, sekali gus untuk menceriakan sambutan Deepavali tahun ini.

“Saya duduk seorang sahaja, anak-anak tinggal di tempat lain, setiap kali raya (Deepavali) mereka akan pulang untuk lihat saya, jadi dengan bantuan diberikan ini dapatlah saya memasak untuk keluarga.

“Sebelum ini saya pernah menerima bantuan begini, tidak sangka tahun ini dapat lagi, terima kasih kepada mereka yang bermurah hati membantu saya,” katanya yang menetap di Solok Sim Fatt, Paya Rumput.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1448
Kongsi :
Previous post Lima individu curi kabel telekomunikasi di Jasin ditahan
Next post Segerakan bantuan kepada mangsa ribut di Rembia
Ubah saiz-+=