Sorting by

×

Terima kasih beri hadiah untuk rakyat Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

JASIN 24 Ogos – Rata-rata penduduk di negeri ini meluahkan rasa gembira apabila Kerajaan Negeri memberikan ‘hadiah’ sempena sambutan Hari Jadi Ke-75 Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadiah itu berupa kemasukan percuma ke beberapa produk pelancongan bermula hari ini sehingga 31 Disember depan, khas untuk pemegang kad pengenalan ’04’ dan ’30’ serta pemastautin di negeri ini.

Salah seorang rakyat Melaka Rozilawati Sulaiman, 45, merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberikan tawaran yang disifatkan cukup istimewa.

“Alhamdulillah saya sudah lama ingin bawa anak-anak ke Zoo Melaka, bila Kerajaan Negeri umum sahaja produk pelancongan percuma ini, saya terus daftar di saluran ‘MyMelaka News’ menerusi aplikasi Telegram.

“Alhamdulillah pendaftarannya juga amat mudah dan saya memang teruja sangat untuk bawa anak-anak. Terima kasih Kerajaan Negeri kerana beri hadiah istimewa ini kepada orang Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Bagi Muhammad Hariz Zulfadli Muhammad, 32, tawaran produk pelancongan percuma kali ini lebih menarik kerana ia diadakan sehingga hujung tahun ini.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberi peluang kepada rakyat Melaka menikmati produk pelancongan secara percuma dengan hanya melanggan saluran Telegram ‘MyMelaka News’.

Img 20240824 210438 504
MUHAMMAD Hariz menunjukkan saluran Telegram MyMelaka News yang telah disertainya. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Terpulang kepada individu itu mahu pergi pada bila-bila masa sehingga hujung tahun ini dan saya sendiri sudah melanggan dan akan menebus tiket itu dalam masa terdekat.

“Rakyat Melaka perlu ambil peluang ini untuk mendapatkan tiket percuma ini kerana tiada negeri lain menawarkan hadiah istimewa ini, hanya Melaka sahaja,” katanya.

Sementara itu, Azraii Kalam, 64, tidak sabar untuk membawa empat anaknya ke produk pelancongan percuma ditawarkan di negeri ini.

“Anak-anak tidak sabar dan mereka sendiri sudah langgan saluran ‘MyMelaka News’ tersebut.

“Memang bagus insiaitif Kerajaan Negeri ini kerana secara tidak langsung kita dapat menikmati detik istimewa bersama seisi keluarga,” katanya.

Img 20240822 Wa0006

Untuk rekod, antara produk pelancongan yang boleh ditebus rakyat Melaka dan pemastautin di negeri ini adalah Menara Taming Sari, Melaka River Cruise, Eco Cruise Sungai Linggi, Zoo Melaka, Muzium Sejarah, Muzium Rakyat, Muzium Belia dan Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka.

Orang ramai bagaimanapun perlu memahami terma dan syarat ditetapkan sebelum membuat penebusan tiket memandangkan setiap produk pelancongan yang disenaraikan mempunyai syarat-syarat tertentu.

Bagi anak-anak atau warga emas yang tidak mempunyai kemudahan telekomunikasi (telefon pintar), penjaga atau ibu bapa berhak melakukan pendaftaran untuk mereka bagi tujuan penebusan tiket percuma.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6742
Kongsi :
Previous post Sisi-sisi penyayang Tun Dr. Mohd Ali
Next post Merdekakan jiwa daripada cengkaman ‘kemalasan’
Ubah saiz-+=