Sorting by

×

Terima kasih bantu kami – ‘Abang rider’

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

TANJUNG BIDARA 8 November – “Alhamdulillah, kemudahan bakal dinikmati nanti bukan sahaja memberikan keselesaan, lebih utama ia menaikkan semangat kami ‘rider’ (penunggang p-hailing).

“Syukur selepas empat tahun saya jadi rider kini ada pihak yang peka dengan kebajikan kami semua,” kata Muhamad Akmal Mustapa Kamal, 34, ketika mengulas mengenai kemudahan tempat persinggahan yang akan disediakan buat penunggang p-hailing beroperasi sekitar Parlimen Masjid Tanah.

Terdahulu berita gembira itu diumumkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof pada perjumpaan bersama penunggang p-hailing di Villa D’Acqua, di sini, hari ini.

Katanya, kerana tidak ada tempat khusus untuk berkumpul penunggang p-hailing terpaksa berteduh di tepi kedai atau lorong sementara menunggu tempahan pesanan daripada pelanggan.

Akmal berkata, berikutan itu penunggang p-hailing atau rider tidak ada tempat untuk dituju dan menggambarkan mereka tidak terurus.

“Kemudahan itu nanti akan dikongsi semua rider tanpa mengira platform, secara tidak langsung ia juga dapat mengeratkan lagi hubungan antara kami.

“Paling penting adalah ketika berlaku kecemasan, jika ada rider yang mungkin tidak pulang ke rumah atau terbabit kemalangan pihak keluarga tahu tempat untuk dituju dan kami juga tahu siapa perlu dihubungi,” katanya.

Menurutnya, antara perkara lain yang diharap dapat dipertimbangkan pihak berkaitan adalah untuk mewujudkan skim perlindungan insurans berkelompok bagi faedah penunggang yang ditimpa kemalangan termasuk ketika sedang bertugas.

Sementara itu Siti Anisah Abu Hashim, 36, menjalankan perkhidmatan itu sejak setahun lalu berkata, kemudahan disediakan amat perlu khusus untuk menjamin keselamatan penunggang wanita sepertinya.

Siti Anisah berkata, akibat suami yang mengalami masalah kesihatan dia terpaksa membawa bersama anak perempuannya Nursalsabila Sabrina sharil, berusia tiga tahun ketika menghantar pesanan pelanggan.

“Saya harap kemudahan tempat persinggahan ini akan memberikan faedah kepada semua rider khususnya wanita, seperti saya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2051
Kongsi :
Previous post PADU bukan jual madu beracun
Next post Bawa pelaburan besar, cipta peluang pekerjaan berkualiti
Ubah saiz-+=