‘Terima Kasih Ayah’
AYER KEROH 4 Julai – Lebih 100 bapa diraikan pada Program Sambutan Hari Bapa Peringkat Negeri Melaka Tahun 2024 anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Melaka di Kompleks LPPKN, di sini, hari ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata tema yang diangkat bagi sambutan kali ini adalah ‘Terima Kasih Ayah’.
Katanya, sambutan itu telah diiktiraf dan akan disambut pada hari Ahad minggu ketiga dalam bulan Jun setiap tahun.
“Sebelum ini kita mungkin lebih kerap mendengar tentang sambutan hari ibu sahaja, namun selalu terlupa bapa juga perlu diraikan dan atas inisiatif LPPKN kita mahu semua bapa tahu kehadiran mereka dalam keluarga sangat penting serta dihargai.
“Sambutan ini juga khusus untuk mengiktiraf peranan seorang bapa dalam keluarga dan hargai ayah kita yang bersusah payah membesarkan kita.
“Menurut Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-5, sebanyak 53 peratus lelaki bergelar bapa mempunyai masalah utama iaitu perbelanjaan pendidikan anak, jadi hargailah ayah kita,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Sambutan Hari Bapa Peringkat Negeri Melaka 2024.
Hadir sama, Pengarah LPPKN, Dr. Annita Mohd Hedzir dan Ketua Pegawai Eksekutif Putra Hospital, Zahiruddin Ahmad.
Program terbabit yang bermula jam 8 pagi membabitkan susunan pelbagai aktiviti menarik seperti saringan kesihatan, sesi terapi seni; terapi ketawa dan ujian psikometrik.
“Pihak LPPKN turut mengadakan forum ‘Bapa Cakna Keluarga Sejahtera’ yang disampaikan oleh penceramah bebas Shamsul Ghau Ghau dan panel jemputan daripada Hospital Putra,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.