TERIMA KASIH 12.32 JUTA PELANCONG
AYER KEROH 11 Disember – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, mewakili kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka, merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan buat 12,325,264 juta pengunjung serta pelancong yang memilih negeri ini sebagai destinasi percutian.
Ab Raf berkata, angka itu adalah rekod pengunjung dan pelancong yang datang ke Melaka bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu sepanjang kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Saya yakin dan percaya, Melaka berada pada landasan tepat untuk menarik lebih ramai pelancong sehingga hujung tahun ini, sekali gus membawa isyarat yang sektor pelancongan sudah kembali pulih.
“Ini masanya untuk kita membawa ‘dunia ke negeri Melaka!’.Tiada di tempat lain. Mana Lagi? Melaka Ler…,” kata Ketua Menteri menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.
Penganjuran kempen TMM2024 adalah antara inisiatif hasil cetusan idea Ab Rauf, dalam merancakkan semula sektor pelancongan di Negeri Melaka, sekali gus membawa limpahan ekonomi untuk rakyat khususnya peniaga.
Sektor pelancongan negeri ini dijangka akan bertambah rancak selepas Melaka dipilih sebagai tuan rumah mewakili Malaysia bagi penganjuran Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) dan Persidangan Pelancongan Dunia 2025 (WTC2025) pada September tahun hadapan, kemudian disusuli Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.