Terharu terima kunjungan kepimpinan tertinggi PDRM
KESIDANG 18 Okt. – Ingatan merosot dan adakala suami bertindak agresif akibat diserang penyakit dimentia secara tiba-tiba sejak lima tahun lalu.
Itu antara cabaran dihadapi suri rumah, Rosilah Ali, 55, dalam menjaga suaminya, Romainor Sulaiman, 69, pesara polis, kini terlantar sakit di rumah.
Malah, katanya dia pernah hampir membuat laporan polis disebabkan tidak tahan dengan sikap suaminya yang berubah menjadi seperti kebudak-budakan dan agresif jika ditegur.
“Dia (suami) mula diserang penyakit itu pada 2016 dan ketika itu saya tidak perasan sakit dihidapinya, namun dia sering menunjukkan tanda hilang ingatan, terutama lupa jalan pulang ke rumah selain sering melanggar kereta orang dan mengamuk.
“Saya bawa dia menjalani rawatan di hospital dan terkejut apabila doktor memaklumkan urat sarafnya banyak sudah mati kerana sebelum ini dia tidak pernah kemalangan atau terhantuk,” katanya.
Rosilah berkata, dia sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi, namun mengakui berdepan tekanan dan sering menangis memikirkan nasib suami yang juga pesara berpangkat koperal.
“Dua tiga tahun lepas suami agak agresif. Jika tegur sedikit ditolaknya saya, mengamuk tidak tentu hala jika mahu dipakaikan baju hingga saya hampir ingin membuat laporan polis.
“Kesihatannya kini semakin merosot selain tidak mampu berjalan dan kini suami terpaksa dijaga seperti bayi,” katanya ditemui ketika lawatan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim yang turut menyampaikan bakul makanan.
Turut serta dalam lawatan itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali dan timbalannya, Datuk Razali Abu Samah di kediamannya di Taman Bukit Katil, dekat sini.
Terdahulu, Mazlan dan rombongannya turut melawat seorang balu, Siti Hazira Hassan, 34, dan anaknya, Hayla Ishqeena berusia dua tahun bagi menyampaikan bakul makanan.
Siti Hazira kehilangan suami, Koperal Mohd Zaini Mahat, 34, akibat kemalangan jalan raya ketika bertugas pada 5 Julai tahun lalu.
“Saya mengetahui arwah suami yang ketika itu bertugas di Unit Cegah Jenayah Balai Polis Tengkera terbabit kemalangan daripada jiran.
“Ketika itu suami menjalankan tugas konvoi bagi menyambut kehadiran ketua balai yang baharu dan terbabit kemalangan maut dengan lori di Jalan Brisu (Alor Gajah),” katanya ditemui di rumahnya di Taman Limbongan Permai, dekat sini, hari ini.
Katanya, biarpun amat tertekan dengan kejadian itu, dia bertekad untuk membesarkan anak, Hayla Ishqeena yang baru berusia lapan bulan ketika itu.
Siti Hazira berkata dia bangkit meneruskan hidup dengan sokongan keluarga dan kini aktif menjalankan perniagaan atas talian.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dan terharu kerana masih ada insan terutama timbalan Ketua Polis Negara yang sudi hadir bertanya khabar dan menghulurkan bantuan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.