Sorting by

×

Terharu terima rumah baharu

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

BEMBAN 26 Nov. – Tidak tergambar dek kata-kata apabila memasuki rumah baharu di Taman Maju, Jasin selepas empat tahun hidup di kediaman berlantaikan tanah dan beratapkan bumbung bocor.

Itu perasaan dialami empat beranak apabila kedaifan hidup mereka mendapat perhatian Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Bemban sekali gus memberikan penempatan sementara kepada keluarga itu.

Dzulkifli Abu Samah,40, bersama isteri, Siti Zainab Enchah, 36, serta dua anak mereka, Muhammad Akif Zuhairi, 13 dan Nur Aishah Humairah,8, sama sekali tidak menyangka dalam tempoh seminggu mereka sekeluarga berpindah ke rumah baharu yang dirasakan umpama ‘syurga’ kerana serba-serbi dilengkapi perabot rumah.

Dzulkifli berkata, selama ini dia tidak dapat membayangkan akan memulakan kehidupan di rumah baharu kerana bertahun lamanya hidup di pondok yang serba kekurangan malah bekalan elektrik juga dibantu sanak-saudara yang tinggal di kawasan berhampiran di Kampung Batu 12, di sini.

“Saya macam tak percaya dapat tinggal di rumah rumah yang berlantaikan mozek, lengkap dengan kipas angin serta anak-anak pun boleh tidur di atas katil dalam bilik sendiri.

DZULKIFLI (dua dari kanan) bersama ahli keluarga terharu menerima rumah baharu.

“Selama ini kami duduk dalam pondok dan menjalani kehidupan seharian dalam keadaan tidak selesa,” katanya ketika ditemui di kediaman barunya di Taman Maju, di sini, kelmarin.

Bagi Siti Zainab, dia memanjatkan kesyukuran kerana penantian untuk hidup dalam keadaan selesa serta membesarkan dua anak dengan sempurna kini berakhir.

Ujarnya, dia dan suami mahu memulakan kehidupan baharu untuk memastikan kehidupan dan pembelajaran dua anak mereka tidak terjejas kerana kesempitan hidup dialami sebelum ini.

“Perasaan semua bercampur dan saya bersyukur dapat kehidupan yang lebih baik dari kehidupan lama.

“Kami mahu lupakan kesengsaraan kehidupan lama hendak memulakan hidup baru kami empat beranak di rumah baharu,” katanya.

Pengerusi Japerun Bemban Ab Rahman Ali yang menyampaikan penyerahan rumah berkenaan kepada Siti Zainab sekeluarga itu berkata, buat sementara waktu empat beranak itu akan ditempatkan di kediaman itu sebelum pihak Japerun mengusahakan mendapatkan kediaman tetap.

“Dalam tempoh enam bulan, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan membayar sewa bulanan keluarga terbabit dan kita juga menyediakan tabung supaya apa sahaja bentuk bantuan yang ingin diberikan kepada empat beranak itu disalurkan ke tabung tersebut.

“Kita jua memantau kehidupan Dzulkifli sekeluarga terutama dua anak mereka supaya pembelajaran mereka tidak terabai,” katanya.

Sebelum ini, MHI melaporkan kehidupan empat beranak itu terlalu daif kerana hidup berlantaikan tanah dan berbumbungkan atap bocor di Kampung Batu 12, Bemban di sini sejak empat tahun lalu.

Bukan itu sahaja, kehidupan mereka ibarat retak menanti belah berikutan rumah yang didiami itu menjadi laluan air yang mengalir dari kawasan tinggi kerana kediamannya terletak di lokasi tanah rendah.

Views:

953
Kongsi :
Previous post Diego Maradona meninggal dunia
Next post UTeM juara keseluruhan eSport Uni League 2020
Ubah saiz-+=