Sorting by

×

Tergamaknya! pasangan kekasih ditahan disyaki buang bayi

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

TELOK MAS 31 Mac – Sepasang kekasih berusia 18 tahun ditahan selepas dipercayai membuang bayi lelaki yang baru dilahirkan sebelum ditemukan mati di sebuah kilang di Telok Mas, di sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, pihaknya menerima laporan daripada Hospital Melaka memaklumkan kes kematian bayi berkenaan semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati ibu bayi itu menjalinkan hubungan bersama teman lelakinya sejak Januari tahun lalu dan menyedari dirinya hamil sejak Mac tahun sama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman

“Dalam kejadian pada jam 12 tengah malam Isnin lalu, suspek wanita melahirkan bayi lelaki yang masih hidup dan disambut oleh suspek lelaki berkenaan di sebuah rumah Taman Telok Emas.

“Suspek lelaki itu kemudiannya membungkus bayi terbabit dalam plastik hitam dan memasukkannya dalam kotak plastik sebelum dibuang di kawasan semak di kilang terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, suspek lelaki itu bagaimanapun kembali ke kawasan kilang itu dan mengambil semula bayi berkenaan sebelum menyerahkannya kepada pihak hospital.

“Bayi tersebut bagaimanapun didapati tidak bernyawa dan bedah siasat terhadap mangsa akan dijalankan esok pada jam 9 pagi,” katanya.

Menurut Mohd Sukri, berikutan kejadian itu, suspek lelaki ditahan di pekarangan Hospital Melaka dan direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.

Katanya, suspek wanita yang sedang dirawat di hospital sama kerana mengalami pendarahan akibat kelahiran itu turut ditahan dan permohonan reman terhadapnya dijangka diperolehi hari ini.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan membunuh yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati,” katanya.

Beliau berkata, polis Melaka memandang serius ke atas jenayah terutama membabitkan kes buang bayi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas pesalah terbabit.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

831
Kongsi :
Previous post Jadikan Pantai Padang Kemunting santuari penyu
Next post Operasi bazar Ramadan Jasin guna sistem nombor giliran
Ubah saiz-+=