Tergamak curi wang bapa, barang kemas kakak

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER MOLEK 7 Mac – Seorang anak lelaki tergamak mencuri wang tunai milik bapanya serta barang kemas milik kakaknya dianggarkan bernilai RM20,000 dalam kejadian di Rumah Awam Bukit Lintang, di sini Rabu lalu.

Serbuan dilakukan oleh Bahagian Risikan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menahan suspek berusia 33 tahun di rumah sama pada jam 2 petang semalam.

Turut ditahan, teman wanitanya berusia 44 tahun di sebuah rumah di Seri Duyong dalam serbuan sama.

Ketua Polis Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan jam 10 pagi semalam daripada adik suspek berusia 28 tahun memaklumkan beberapa laci simpanan bapanya yang menyimpan wang tunai dan barang kemas dipecahkan dalam kejadian Rabu lalu.

 


TURUT dirampas kad kredit dan pemotong besi. PIX/ Ihsan PDRM

Katanya, pemeriksaan lanjut bapa pengadu turut mendapati sejumlah wang tunai berjumlah RM6,000 dan barang kemas kakaknya yang dianggarkan RM14,000 dipercayai dicuri suspek berkenaan.

“Suspek mengaku kepada pengadu yang juga adik lelakinya dia mengambil barang tersebut untuk membayar hutang.

“Pengadu juga mendapati kad kredit miliknya hilang dan suspek mengaku memberikannya kepada rakan wanitanya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, berikutan itu pihaknya menahan kedua-dua suspek sebelum menemui barang yang dicuri di rumah kekasih suspek di Taman Seri Duyong.

“Polis menemui empat resit invois kedai emas, empat resit pembayaran kad kredit, empat cincin emas, satu gelang tangan, dua loket rantai dan dua utas rantai yang disorokkan di rumah berkenaan.

“Turut dirampas kad kredit sebuah bank dan pemotong dipercayai digunakan untuk memotong mangga laci,” katanya.

Afzanizar berkata, suspek lelaki direman tiga hari bermula semalam hingga Selasa ini bagi membantu siasatan manakala suspek wanita berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Jelasnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

807
Kongsi :
Previous post MH370: Tujuh tahun tanpa jawapan
Next post COVID-19: Kes baharu 1,683, tiga lagi kematian hari ini – KP Kesihatan
Ubah saiz-+=