Terdetik hati pulang awal
PAYA RUMPUT 23 Jan – Tiga beranak terselamat selepas kediaman mereka di Kampung Paya Rumput, di sini, hangus terbakar pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu mengakibatkan rumah pusaka didiami Malik Yassin, 67, dan isteri Zaini Keling, 66, musnah dijilat api.
Menurut Malik, ketika kejadian dia bersama cucu perempuannya berusia 10 tahun berada di rumah manakala isterinya berada di dapur sedang memasak.
“Saya awal pagi sudah ke kebun dan kebiasaan akan pulang tengah hari atau jam 1 tetapi hari ini tergerak untuk pulang lebih awal.
“Kejadian berlaku dengan pantas, sebelum itu ada terbau benda terbakar tetapi tidak fikir apa-apa tetapi terkejut melihat asap selain cucu menjerit ada api,” katanya.
Menurutnya, walau sedih dengan kejadian menimpa rumah pusaka tinggalan ibu mentuanya itu namun dia bersyukur kerana keluarganya terselamat.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.25 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng dan BBP Tangga Batu dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan kira-kira 60 peratus kediaman itu dan menjejaskan ruang dalam serta hadapan rumah.
“Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 12.09 tengah hari selain pasukan forensik sudah dimaklumkan mengenai kejadian dan mereka akan jalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.