Terbuka Hylo: Zii Jia semakin hampir kejuaraan
KUALA LUMPUR 7 Nov – Perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia semakin hampir merangkul kejuaraan pertamanya dalam tempoh lapan bulan selepas mara ke pusingan akhir Terbuka Hylo 2021 di Jerman, awal hari ini, waktu Malaysia.
Pemain pilihan kedua itu menewaskan pemain pilihan keenam, Srikanth Kidambi dari India di separuh akhir untuk final menentang pemain bukan pilihan Loh Kean Yew dari Singapura, lewat hari ini.
Bagaimanapun ia bukanlah perjalanan mudah buat Zii Jia kerana Srikanth mempamerkan daya tahan yang mantap pada set pertama sebelum pemain Kedah itu mencatat kemenangan tipis 21-19.
Pada set kedua, Zii Jia sekali lagi terselamat apabila pemain nombor lapan dunia itu bangkit daripada ketinggalan 9-15 untuk mengejar Srikanth dan akhirnya bernasib baik untuk mara ke final selepas menang 22-20.
Ini adalah final pertama Zii Jia selepas menewaskan pemain nombor dua dunia, Victor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22, 21-9 untuk memenangi Kejohanan Badminton All England 2021 di Birmingham, England, Mac lepas.
Dalam pada itu, pemain nombor 40 dunia Kean Yew meneruskan aksi cemerlang di Jerman apabila menewaskan rakan senegara Srikanth, Lakshya Sen 21-18, 21-12 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.
Zii Jia, 22, sudah pasti akan berusaha membalas dendam apabila dikejutkan dengan penyingkiran awal di tangan Kean Yew apabila pemain Singapura itu melakar kemenangan sensasi 24-22, 21-14 pada pusingan pertama Terbuka Perancis bulan lepas.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.