Sorting by

×

‘TERBANGLAH TINGGI PUTERIKU’

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

PENGKALAN BATU 18 September – Wanita ini tersenyum lebar apabila cita-cita puterinya, mahu melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir akhirnya menjadi kenyataan.

Sunarty Mansor, 45, berkata, sejak sekian lama anaknya Nur Syahida Adilla Ahmad Syakir, 19, berusaha keras untuk cemerlang dalam akademik kerana mahu mengubah nasib keluarga mereka.

Katanya, Nur Syahida Adilla adalah antara 18 orang anak jati negeri ini yang menerima Skim Dermasiswa Pengajian Islam
(DPI) ke luar negara bernilai RM28,000 daripada Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) dan bantuan ‘one-off’ RM3,500 daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Sebelum ini dia banyak berkorban masa dan tenaga demi pelajarannya. Selepas ini dia berkorban lagi, memendam rindu apabila terpaksa berjauhan daripada keluarga.

“Saya yakin Nur Syahida Adilla boleh sebab dia anak yang pandai berdikari dan berharap dia boleh jaga diri sebab selepas ini dia akan jauh dari kami dan mahu balik ke sini sudah tentu kosnya mahal tapi saya yakin dia mesti boleh,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutup dan Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul 1446H Peringkat Negeri Melaka Tahun 2024 di Dataran Pusat Islam, Bukit Palah, semalam.

Sementara itu, Nur Syahida Adilla bekas pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Al-Asyraf meluahkan rasa syukur selepas cita-citanya untuk melanjutkan pengajian ke universiti itu sejak berumur 14 tahun dipermudahkan.

Nur Syahida Adilla memperoleh 8A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selain itu dia juga menerima pengiktirafan Jayyid Jiddan ketika menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Doa ibu menjadikan semua urusan dalam pelajaran dipermudahkan. Saya bercita-cita untuk menjadi seorang peguam syariah suatu hari nanti kerana yang pertama untuk mengubah nasib keluarga dan mahu menjadi seorang yang bermanfaat untuk masyarakat.

“Terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Negeri menerusi MAIM dan TAPEM yang telah memberi sumbangan ini kepada kami dan ini menjadi titik semangat buat kami semua untuk melanjutkan pengajian ke luar negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

482
Kongsi :
Previous post 10,000 MERIAHKAN KARNIVAL USAHAWAN, FESTIVAL LAYANG-LAYANG MELAKA
Next post KETUA MENTERI KONGSI ASPIRASI BERSAMA ANAK MUDA
Ubah saiz-+=