Teratak pusaka hangus terbakar diganti baharu

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

PENGKALAN BATU 14 Sept – Hanya rasa syukur dapat dipanjatkan seorang ibu tunggal tiga anak apabila dihadiahkan sebuah rumah baharu oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), di Kampung Baroh, Bachang, di sini.

Sumbangan menerusi Projek Baiti Jannati TNB Melaka itu diberikan selepas teratak pusaka lebih 40 tahun yang didiami keluarga itu hangus terbakar dalam kejadian November tahun lalu.

Anisah Mamat, 42, berkata, kebakaran akibat tragedi menggoreng ayam itu membuatkan dia sekeluarga termasuk ibunya yang sakit terlantar tinggal sehelai sepinggang dan kerugian dianggarkan RM150,000 kerana gagal menyelamatkan barangan berharga termasuk wang tunai dan barang kemas.

MENERIMA replika kunci rumah daripada Norhizam.

Dia yang bekerja sebagai pengasuh di rumah dengan pendapatan bulanan sekitar RM400 hingga RM500 mengakui buntu memikirkan cara untuk menyediakan rumah baharu untuk keluarga termasuk ibu sakit terlantar keluarga selepas kejadian itu.

Namun, berkat kegigihannya memohon bantuan daripada wakil rakyat dan TNB, dia dan keluarga kini menerima rumah lebih selesa di tapak tanah pusaka itu.

“Perasaan saya hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Kami sangat gembira dan bersyukur dengan semua bantuan yang kami sekeluarga terima.

“Memang tidak sangka nasib kami mendapat perhatian ramai pihak. Kami bersyukur dan sangat terharu dapat rumah baharu yang cantik dan dibuat seikhlas hati,” katanya.

AHMAD FADHLI.

Simbolik penyerahan rumah baharu itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan turut dihadiri Pengurus Besar (Hal Ehwal Pemegang Taruh) TNB Melaka, Ahmad Fadhli Aziz.

Ahmad Fadhli berkata, rumah tiga bilik bernilai RM50,000 itu adalah sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan menerusi peruntukan zakat perniagaan.

Jelasnya, sebanyak RM300,000 diperuntukkan TNB bagi pembinaan enam rumah baharu kepada insan terpilih terutama golongan asnaf dan ibu tunggal yang memerlukan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

944
Kongsi :
Previous post Kemasukan pelajar IPT secara berperingkat mulai 15 Oktober – Noraini
Next post 200 terima bantuan program No Hungry Child Campaign
Ubah saiz-+=