Terapkan budaya kitar semula di sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

KESIDANG 14 Mei – Amalan kitar semula dan pengurusan sampah yang baik akan terus diterapkan kepada murid sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin berkata, budaya itu perlu diperkasakan sejak bangku sekolah lagi dalam usaha untuk memastikan alam sekitar kekal terpelihara untuk generasi akan datang.

Katanya, untuk permulaan, kempen-kempen kesedaran akan diperbanyakkan bermula dengan murid dari sekolah menengah dan ia akan terus diperluaskan kepada komuniti setempat.

“Menerusi hasrat ini kita akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi kesedaran di sekolah-sekolah negeri ini dan sedikit sebanyak dapat mengatasi isu sampah yang berlaku di beberapa kawasan.

“Kita akan menggerakkan usaha ini di setiap sekolah terutama dalam DUN Kesidang dan akan diperluaskan ke seluruh negeri bagi memastikan amalan kitar semula dalam kalangan murid dapat dipertingkatkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, satu program Amalan Kitar Semula telah dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Tzu Chi Melaka membabitkan 500 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Limbongan, baru-baru ini.

Beliau berkata, menerusi program diadakan itu murid sekolah digalakkan membawa bahan terpakai dari rumah seperti botol air, bekas makanan plastik dan sebagainya untuk dikitar semula.

“Malah bahan bahan buangan ini boleh dihantar di kawasan disediakan di sekolah berkenaan sebelum dijual yang mana hasil jualannya akan dipulangkan kembali ke sekolah mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

90
Kongsi :
Previous post Melaka terus subur dengan program keagamaan, kebajikan
Next post 19 dipilih sekolah angkat seni budaya Melaka
Ubah saiz-+=