Sorting by

×

TERAPI SENI DI SUNGAI MELAKA, 25-27 OKTOBER INI

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 21 Oktober – Sembilan pengisian utama berteraskan kesenian, kebudayaan dan warisan akan mewarnai Festival Seni Selat Melaka 2024 bermula 25 hingga 27 Oktober ini di Dataran Pengkalan Rama.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Melaka, Ezlina Alias berkata, festival tersebut merupakan antara program pelancongan budaya di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Katanya, festival tersebut dibuka dengan Persidangan Seni Selat Melaka yang menampilkan 16 pemakalah berkaliber yang akan membentangkan 16 isu dan kertas kerja berkaitan seni, warisan dan budaya negara.

“Pada persidangan yang julung kali diadakan ini, 150 tempat duduk sahaja diberi untuk pengunjung dan tempat terhad.

“Selain itu, pada malam 26 Oktober pula akan berlangsungnya Malam Gala dan perasmian untuk tiga festival di bawah International Cultural & Arts Festival 2024 @Sungai Melaka (ICAF2024).

“Pada malam tersebut, kita amat menggalakkan pengunjung untuk memakai busana klasik tradisional pelbagai kaum untuk menambah seri majlis,” katanya ketika bersiaran pada Podcast Mana Lagi Melaka Ler di Studio Melaka TV.

Menurut Ezlina, objektif festival terbabit adalah untuk memartabat seni budaya sebagai unsur aktiviti dan mampu memberi pulangan ekonomi kepada karyawan.

“Antara aktiviti lain yang akan diadakan seperti Pertandingan Mewarna Cintai Sungai Kita, Pertandingan Lukisan Gubahan Fikiran, Kejuaraan Diabolo atau Yoyo Cina, Senam Seni 2.0, Miss Cilik Selat Melaka dan Pertandingan Miss Remaja Selat Melaka.

“Semua aktiviti menarik ini menanti pengunjung untuk mengisi hujung minggu dengan pelbagai terapi seni yang disediakan untuk seisi keluarga,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

314
Kongsi :
Previous post MELAKA CERIAKAN KOMUNITI INDIA SEMPENA DEEPAVALI
Next post BEKALAN BARANGAN KEPERLUAN ‘JUALAN RAHMAH’ AKAN DITAMBAH BAIK
Ubah saiz-+=