Sorting by

×

Tepung pelita jadi ‘kegilaan’ di bulan Ramadan

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

BUKIT BARU 15 April. – Kuih tepung pelita antara kuih menjadi rebutan ramai di pasar Ramadan seluruh negara tidak terkecuali di Melaka yang diberitakan mampu terjual ribuan biji sehari.

Hal itu diakui peniaga dan pembuat kuih tepung pelita di Kampung Pulau, Bukit Baru, Ridhuan Abu Samah, 33.

Katanya, sejak berniaga kuih berkenaan bersama adik-beradik dan saudara-maranya sejak 11 tahun lalu, populariti kuih berkenaan tidak pernah hilang dan dia mampu menjual 4,000 ke 5,000 kuih sehari pada Ramadan tahun ini.

 

PROSES menuang santan bagi melengkapkan kuih tepung pelita yang dilakukan adik-beradik dari Kampung Pulau, Bukit Baru.

Hasil resipi diwarisi daripada arwah ibunya, perniagaan itu terus berkembang sehingga ke hari ini dan sentiasa mendapat permintaan yang tinggi di gerai jualannya yang dibuka di pasar Ramadan Paya Ikan, Musai dan Semabok.

“Kuih tepung pelita ini kita hanya buat setahun sekali iaitu apabila tiba Ramadan. Kami tak tahu kenapa, tetapi kuih ini bila hari biasa tiada langsung permintaan, tetapi bila Ramadan memang tak menang tangan kami dibuatnya.

“Nak kata ada resipi rahsia tertentu, bagi saya resipi kami sama seperti orang lain, cuma mungkin aura kuih dibaluti daun pandan segar itu membuatkan ia nampak lebih menyelerakan,” katanya.

Meskipun begitu, Ridhuan berkata, terdapat cabaran yang terpaksa ditempuh dalam menghasilkan kuih tradisional itu terutama membabitkan bahan asas seperti daun pandan yang kini semakin sukar didapati.

Katanya, atas faktor kekurangan daun pandan, penghasilan kuihnya semakin terjejas saban tahun dan tidak mampu lagi menghasilkan 6,000 ke 7,000 biji kuih seperti dahulu.

“Saya terpaksa ambil inisiatif membeli daun pandan di tanah milik orang lain. Dan untuk dapatkan daun pandan liar yang lebar dan menepati kriteria kami bukan mudah.

“Oleh sebab itu, saya juga kini sudah mula menanam daun pandan sendiri bagi menampung penghasilan kuih tersebut di masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, adiknya Nor Amira Abu Samah, 30, menyifatkan penghasilan kuih tepung pelita bukanlah kerja mudah memandangkan ia perlu dilakukan sejak pagi hingga ke petang.

Katanya, dia akan memasak lapisan pertama berwarna hijau terlebih dahulu bermula pada jam 8 pagi dan seterusnya menyediakan ‘mangkuk’ kuih menggunakan daun pandan sebelum memasak lapisan putih sebagai pelengkap kuih itu.

“Walaupun bahannya tidak banyak iaitu hanya menggunakan tepung, tekur, gula dan santan tetapi kerja-kerjanya memakan masa dan tenaga. Mujurlah semua ahli keluarga membantu dalam penghasilan kuih ini.

“Saya belajar resipi ini daripada arwah emak ketika masih bersekolah menengah dan alhamdulillah sehingga kini kualiti kuih yang kami jual masih sama,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2106
Kongsi :
Previous post KM Sulaiman ziarah mangsa kebakaran
Next post ‘Terima kasih anak muda bantu mangsa kebakaran’
Ubah saiz-+=