Sorting by

×

Teochew Poong Tor, kuih bawa ‘ong’

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

BANDA HILIR 23 Julai – Kuih Teochew Poong Tor pada ratusan tahun dahulu dikatakan amat popular dalam kalangan masyarakat Cina dan menjadi sajian yang wajib ada setiap hari.

Namun akibat arus pemodenan dan perubahan gaya hidup populariti kuih ini merudum dan kini hanya dihidangkan pada majlis tertentu atau festival keraian masyarakat Cina.

Ahli Persatuan Teochew Melaka, Huan Hai Guek, 80, berkata, kuih berbentuk seperti hirisan buah pic, berwarna merah jambu itu membawa maksud panjang umur, kegembiraan dan membawa tuah jika dimakan.

“Sebenarnya ada dua warna iaitu merah jambu dan putih. Kuih warna merah jambu paling popular, kerana membawa maksud panjang umur dan mendoakan tuah kepada mereka menjamahnya.

“Sementara itu yang berwarna putih pula pada kebiasaan digunakan dalam upacara menghalau hantu dan tidak dimakan. Kuih ini dibuat menggunakan tepung beras, udang kering, kekacang dan cendawan sebagai inti,” katanya ketika ditemui di Festival Masakan Warisan Melaka 2023 di Perkarangan Muzium Rakyat, di sini, semalam.

Hai Guek berkata, kuih tersebut menjadi pameran kerana ia adalah simbolik kepada nama persatuan mereka.

“Selama tiga hari di festival ini, kami bawakan kuih Teochew ini untuk diperkenalkan kepada generasi muda kini.

“Ramai orang muda muda khususnya berketurunan Cina tidak mengenali kuih yang resepinya turun temurun daripada nenek moyang mereka. Usaha kami ini selari dengan objektif festival mahu menjadikan makanan warisan sebagai aset negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1754
Kongsi :
Previous post Muzium Naning antara produk tarikan TMM2024
Next post Kongsi cerita Orang Asli Temuan
Ubah saiz-+=