Tentera maut motosikal bertembung kereta
ALOR GAJAH 4 April – Anggota tentera maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta dalam kejadian di Kampung Paku, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 petang itu mangsa Haidir Idris, 23 tahun yang bertugas di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Kem Sungai Udang maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC dikatakan dalam perjalanan dari arah Alor Gajah menghala ke Masjid Tanah.
Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dikatakan hilang kawalan sejurus tiba di lokasi kejadian lalu bertembung dengan Proton Saga dipandu seorang wanita.
“Keadaan jalan di lokasi kejadian berselekoh menurun serta mendaki bukit dan mangsa bertembung di tengah garisan putih.
“Akibat pertembungan itu mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat.
“Siasatan lanjut kejadian masih dijalankan dan pihak polis turut meminta orang awam atau saksi yang melihat kejadian untuk tampil membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.