
TENTERA DARAT JUARA KESELURUHAN SUKAN ANTARA BADAN BERUNIFORM PIALA KETUA MENTERI MELAKA
TANJUNG BIDARA 16 Februari – Tentera Darat Malaysia (TDM) dinobatkan juara keseluruhan Sukan Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2025.
Wakil TDM secara keseluruhan berjaya pmengumpul 50 mata, meninggalkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tempat kedua dengan 24 mata manakala Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) tempat ketiga dengan 19 mata.
Selaku juara, pasukan TDM menerima piala pusingan serta hadiah wang tunai RM3,000 yang disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Penutup Karnival Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati & Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2025 bertempat di Dataran Pantai Tanjung Bidara, hari ini.
Sebanyak 11 badan beruniform mengambil bahagian pada kejohanan kali ini dan menyaksikan sebanyak sembilan acara sukan dipertandingkan iaitu bola sepak, sepak takraw, bola jaring, futsal, badminton, golf, merentas desa, tarik tali dan bola tampar.
Lebih 7,000 anggota badan beruniform terlibat pada Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka 2025 bermula 18 Januari lepas.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.