Sorting by

×

Tengkorak, serpihan tulang ditemui berhampiran pantai tambakan laut

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

KLEBANG 17 Oktober – Dua lelaki terkejut menemui tengkorak dan serpihan tulang dipercayai milik manusia ketika berjalan di pantai tambakan laut berhampiran bangunan teater di Kota Syahbandar petang Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berusia 34 tahun yang memaklumkan dia dan rakan lelakinya berjalan di pantai berhampiran bangunan berkenaan kira-kira jam 6 petang.

Katanya, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian dan menemukan tengkorak dan tulang manusia di atas pasir dikelilingi semak kira-kira 20 meter dari pantai berhampiran bangunan terbabit.

“Siasatan di lokasi kejadian turut menemukan seluar jeans yang dalam keadaan separuh tertimbus dalam pasir bersebelahan dengan tulang yang ditemukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

WhatsApp Image 2023-10-17 at 15.08.42_c7a33060
SIASATAN polis di lokasi kejadian.

Mengulas lanjut, beliau berkata tengkorak dan tulang berkenaan dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk siasatan forensik.

“Semakan turut dilakukan terhadap senarai orang hilang di kawasan Balai Polis Melaka Tengah namun tidak menemukan sebarang laporan kehilangan.

“Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti tengkorak dan tulang berkenaan adalah sah milik manusia atau sebaliknya selain mengesan identiti mangsa dan rangka badan lain,” katanya.

Christopher berkata susulan penemuan itu, orang ramai yang ada kehilangan saudara mara diminta tampil untuk menyalurkan maklumat di balai polis berdekatan.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penemuan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

15840
Kongsi :
Previous post Melaka terima tambahan pelaburan RM1 bilion
Next post Pusat tahfiz anak mualaf bakal jadi tarikan
Ubah saiz-+=