Tenang semua! Barang makanan dan keperluan mencukupi
AYER KEROH 29 Mei- Bertenang dan jangan timbulkan sebarang spekulasi hingga mendatangkan keadaan panik dalam kalangan pengguna.
Itu peringatan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Wira Ar. Ismail Othman kepada orang ramai di negeri ini agar tidak melakukan ‘pembelian panik’ susulan keputusan kerajaan melaksanakan melaksanakan penutupan penuh atau total lockdown sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun ini.
Katanya, kerajaan negeri menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri memberi jaminan bekalan barangan keperluan harian adalah mencukupi sepanjang PKP 3.0 (12 Mei hingga 7 Jun ini).
“Sehubungan itu, saya minta pengguna di negeri ini dapatkan bekalan makanan dan keperluan yang sewajarnya saja dan tidak berlebihan hingga mencetuskan ‘pembelian panik’.
“Bekalan makanan dan barangan keperluan makanan ada, tidak perlu pembelian panik,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).
Kelmarin, Ismail ‘turun padang’ membuat tinjauan bekalan barangan keperluan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) menerusi Ops HAD 2J di sebuah pasar raya di negeri ini bersama KPDNHEP negeri.
Dalam perkembangan sama, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Melaka menerusi catatan di Facebook rasminya menyatakan pihaknya komited bagi memantau kestabilan bekalan makanan, barang kawalan dan keperluan asas.
“Peniaga juga turut dipantau agar mematuhi segala perundangan yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP mahupun Akta 342.
“Laporkan jika anda terlihat atau mengetahui sebarang salah laku peniaga atau kekurangan barang kawalan,” katanya.
Sementara itu, MHI difahamkan orang ramai ‘menyerbu’ sebuah pasar raya di Peringgit dekat sini sejak awal pagi tadi melalui mesej bergambar daripada netizen memaparkan orang beratur panjang untuk memasuki premis dan akan mendapatkan maklumat terperinci mengenainya.
Dikatakan ada antara mereka terpaksa menunggu sehingga 30 minit sebelum dapat memasuki pasar raya bagi membeli barangan keperluan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.