Sorting by

×

Tenang selepas lafaz syahadah di pagi Jumaat

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

PAYA RUMPUT 29 Disember – “Sesungguhnya hati ini terasa amat tenang tidak lagi dibelenggu bermacam perkara seperti sebelum ini, Alhamdulillah akhirnya saya mengucap dua khalimah syahadah,” itu kata saudara baharu Norhayati Ayeh, 47.

Norhayati, yang juga Orang Asli dari Perkampungan Orang Asli Lubuk Bandung, yang hadir ke Ceramah Agama Perdana ‘Ku Langkah Dengan Bismillah’ disampaikan penceramah luar negara Ustaz Muhammad Zaaf Fadlan Rabbani Al-Garamatan atau lebih dikenali sebagai Ustaz Sabun, membuat keputusan untuk memeluk Islam.

Menurut ibu kepada enam orang anak itu, kehadirannya ke ceramah agama itu bersempena Karnival Islamik Antarabangsa Melaka (KIAM ’23) adalah keputusan di saat-saat akhir bersama dua anak perempuanya dan langsung tidak menduga penghulu segala hari iaitu hari Jumaat menjadi saksi hatinya terbuka mengucap khalimah syahadah.

“Sebenarnya dua anak perempuan sudah memeluk Islam sejak tiga tahun lalu dan mereka ada mengajak saya untuk bersama-sama dengan mereka namun ketika itu belum kuat serta bersedia lagi. Tidak dinafikan jauh disudut hati ada keinginan itu tetapi mungkin belum masanya.

“Asbab juga kedatangan saya ini apabila dibuka jalan untuk ke sini kerana diikutkan sebelum ini kenderaan yang membawa penduduk dari kampung kami sudah penuh tetapi di saat akhir seorang daripada mereka tidak dapat turut serta, akhirnya anak membawa saya bersama,” katanya ketika ditemui di perkarangan Stadium Hang Jebat, hari ini.

Norhayati berkata, di saat dia melafazkan kalimah syahadah itu, dirinya terasa amat damai bagaikan hilang segala bebanan yang dirasai sebelum ini selain dia amat berharap agar terus istiqamah dalam melaksanakan ibadah serta perintah Allah SWT.

“Sukar digambarkan perasaan ketika ini, bagaikan orang baharu kerana hati dan fikiran terasa amat tenang, tiada lagi rasa susah hati serta serabut. Mungkin ini nikmatnya berbanding sebelum ini,” katanya dalam nada sebak.

Sementara itu, anak keduanya Nur Evanatasya Rosalan, 20, berkata, dia dan kakaknya Nur Afeefah Natira, 21, tidak menyangka dan terkejut apabila ibunya secara tiba-tiba membuat keputusan memeluk Islam pada majlis agama tersebut.

“Ini adalah hari paling bahagia dan terindah apabila doa saya dimakbulkan oleh Allah SWT, sejak saya bersama kakak peluk Islam tiga tahun lalu kami ada berbincang hal ini dengan ibu tetapi tiada jawapan. Besar harapan saya ketika itu agar emak dan adik yang lain dapat bersama kami berdua.

“Alhamdulillah selepas ini kami dapat bersama-sama mempelajari agama dan ke masjid untuk berjemaah selain turut berharap agar dipermudahkan urusan untuk kami saling membimbing di antara satu dengan lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2119
Kongsi :
Previous post KTMB kerjasama dengan pihak swasta tampung penambahan aset
Next post Ekonomi Malaysia positif pada Oktober 2023
Ubah saiz-+=