Tempoh enam bulan kepada pemaju siapkan Taman Seri Aman Lagenda
AYER LIMAU 28 Jan – Kerajaan negeri memberi tempoh enam bulan kepada pemaju Taman Seri Aman Lagenda, Masjid Tanah bagi menyiapkan projek sakit itu yang tergendala sejak 2017.
EXCO Perumahan negeri, Datuk Zaidi Attan menegaskan, kerajaan negeri tidak akan melanjutkan lagi tempoh berkenaan kerana projek itu sepatutnya disiapkan sepenuhnya pada 2019.
“Kerajaan negeri mahu pemaju menyiapkan projek ini dan menyerahkannya kepada pembeli yang sudah menunggu lama.
“Pemaju diwajibkan membina tangki air utama dan bina semula tembok penahan tebing yang sudah runtuh kerana ia membahayakan penghuni,” katanya ketika ditemui selepas melawat projek itu, hari ini.
Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat membabitkan pemaju, wakil Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan pembeli di Dewan Tan Sri Abu Seman Yusof, di sini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Zaidi berkata, pemaju tidak mempunyai sebab untuk tidak membina tangki air utama kerana ia adalah berdasarkan syarat ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
“Hasil tinjauan, saya mendapati kebanyakan kerja pembinaan sudah selesai, termasuk pendawaian elektrik dan pemasangan paip air ke rumah.
“Ada satu blok yang berhampiran dengan tebing runtuh, itu mungkin lewat untuk disiapkan kerana pemaju harus membina semula tembok. Saya berjanji tinjauan semula ke perumahan ini akan kita buat 20 April depan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri memahami masalah dihadapi pemaju namun kepentingan pembeli harus diutamakan kerana mereka sudah membayar pinjaman perumahan meskipun kediaman gagal disiapkan mengikut jadual.
Sementara itu, wakil pembeli Intan Nurfarhana Kamarolzaman, 32, meluahkan rasa syukur kerana kerajaan negeri membantu menyelesaikan masalah membelenggu mereka.
“Kami amat berharap pemaju mampu memenuhi ketetapan kerajaan negeri. Pinjaman kena bayar tetapi sampai sekarang kami belum boleh berpindah masuk ke kediaman idaman,” katanya.
Sementara itu Wan Suria Hanis Wan Ibrahim, 40, berkata mesyuarat berkenaan memberikan harapan kepada pembeli untuk menghuni rumah masing-masing secepat mungkin.
Katanya, kebanyakan pembeli terpaksa menyewa sekitar pekan Masjid Tanah dan beberapa kampung sekitar sementara menunggu projek berkenaan disiapkan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.