Tempahan janji temu dos penggalak kini tersedia di MySejahtera
Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn Bhd Datuk Dr Anas Alam Faizli berkata tempahan melalui aplikasi itu adalah inisiatif kerajaan selain janji temu yang telah ditetapkan oleh aplikasi MySejahtera.
Ia bertujuan meluaskan lagi liputan dan mempercepatkan vaksinasi dos penggalak dalam kalangan rakyat Malaysia sebelum status vaksinasi penuh ditarik balik daripada penerima vaksin primer lengkap (dos 1 dan dos 2) bagi yang tidak mendapatkan dos penggalak selewat-lewatnya 31 Mac ini.
“Tujuan kemudahan ini adalah untuk memupuk kesedaran masyarakat dan tanggungjawab individu terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan meluaskan akses kepada program vaksinasi sedia ada, terutamanya kepada warga emas bagi memastikan fasa peralihan kepada endemik yang akan bermula pada 1 April 2022 dapat dilaksanakan dengan selamat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dr Anas berkata warga emas yang tidak divaksinasi atau tidak diberi suntikan dos penggalak dengan komorbiditi mempunyai risiko kematian yang lebih tinggi jika mereka dijangkiti COVID-19.
“Memandangkan Ramadan semakin menghampiri, dinasihatkan agar golongan ini segera mendapatkan dos penggalak secepat mungkin.Mari lindungi keluarga kita. Sama-sama kita tingkatkan tahap perlindungan kita sebelum memasuki fasa peralihan kepada endemik,” katanya
Orang ramai boleh merujuk laman web ProtectHealth di www.protecthealth.com.my untuk melihat senarai PPV pilihan yang berdaftar di bawah ProtectHealth sebagai senarai rujukan di ‘Find Vaccination Centre (PPV)’. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.