Sorting by

×

Aidilfitri: Tempahan hotel ‘si bulus’ penuh

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

MERLIMAU 2 Mei – Bagaikan pisang goreng panas, apabila rata-rata hotel kucing di negeri ini penuh ditempah pemilik haiwan peliharaan itu yang mahu pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri.

Walaupun ada segelintir yang dibawa bersama pulang ke kampung namun ramai juga pemiliknya membuat keputusan meninggalkan ‘si bulus’ kesayangan mereka di hotel sepanjang ketiadaan mereka dirumah.

Bagi pemilik Mimi Cat Hotel, Juan Mazeiour Khan, berkata, dia mula menerima tempahan daripada pemilik kucing sejak seminggu sebelum Ramadan sebelum ianya penuh kerana ramai yang mencari premis untuk meninggalkan haiwan peliharaan mereka itu.

Katanya, situasi itu mungkin disebabkan ramai yang menyambut Aidilfitri di kampung halaman susulan dua tahun tidak dapat berbuat demikian susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19

“Saya sudah jangka akan mendapat permintaan, hotel kucing ini sama situasi seperti kita hendak pergi bercuti ketika ‘peak season’ kalau lambat buat tempahan pasti hotel akan penuh.

“Bagi Mimi Cat Hotel kami tidak mengambil terlalu banyak kerana kami hadkan satu sangkar hanya dua ekor sahaja dan untuk kali ini hanya 18 ekor sahaja yang diambil.

“Namun begitu, ia bergantung kepada pemiliknya, jika mereka benarkanya kucing mereka berkongsi sangkar baru kita tempatnya dengan seekor lagi kucing lain. Ada juga yang masih bertanya sekiranya ada kekosongan tetapi memang kita hadkan setakat itu sahaja,” katanya.

Katanya, bilangan itu agak terhad kerana dia kini beroperasi di kediaman susulan premisnya terpaksa ditutup susulan terkesan akibat pandemik COVID-19.

KEADAAN hotel kucing yang diusahakan Rosazrie Alias.

Bagi seorang lagi pengusaha hotel kucing di Merlimau, Rosazrie Alias, 49, berkata, permintaan terhadap hotel kucing kali ini amat menggalakkan malah, dia mula menerima tempahan sebelum tibanya Ramadan.

“Tempahan memang banyak tetapi kami hanya menerima kira-kira 45 ekor sahaja, itu pun sudah termasuk sangkar tambahan. Kalau ikutkan sangkar yang kami ada hanya untuk 30 ekor sahaja.

“Paling lama untuk raya ini, ada pemilik yang tempah untuk dua minggu dan kucing-kucing ini mula sudah mula ‘check in’ sejak Jumaat dan hanya akan diambil selepas pemilik mereka kembali ke Melaka,” katanya.

Dia yang sudah terbabit dengan perkhidmatan ini sejak lebih lima tahun lalu berkata, selain tempahan hotel kucing yang mendapat sambutan, dia juga mendapat permintaan agak tinggi untuk mendandan dan menghias kucing mejelang hari raya yang akan tiba.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1504
Kongsi :
Previous post Cuti Hari Pekerja dibawa kepada Rabu – PM
Next post TYT tunai solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Azim
Ubah saiz-+=