Tempahan hotel di Melaka dijangka meningkat
BANDA HILIR 11 Jun – Walaupun diberi lampu hijau bagi melakukan perjalanan merentas negeri bermula semalam (10 Jun), namun rakyat perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa semalam memberi kelegaan kepada rakyat untuk merancang pulang ke kampung atau bercuti bersama keluarga.
Justeru itu, Melaka Hari Ini (MHI) melakukan tinjauan di sekitar Banda Hilir semalam bagi melihat sendiri sejauh mana rakyat di negeri ini mengambil peluang selepas PKPP diumumkan.
Sekitar jam 3.30 petang kenderaan-kenderaan awam dilihat mula memasuki kawasan Banda Hilir, tidak kurang juga ada bersama keluarga mengunjungi kompleks beli belah di kawasan ini.
MHI juga berkesempatan menemubual pemilik-pemilik hotel di negeri ini bagi mendapatkan kepastian dari mereka sendiri.
Pengarah Urusan Bayou Lagoon Park Resort, Datuk Marco Seow berkata, sejak PKPP diumumkan pengunjung mula membuat tempahan dan mencari pakej bersesuaian di taman tema tersebut.
“Walaupun tidak ramai berbanding sebelum PKP, namun kita jangkakan akan ada tempahan mendadak pada hujung minggu ini.
“Kami juga menawarkan diskaun 50 peratus bagi setiap harga bilik, pengunjung perlu nikmati tawaran ini memandangkan lokasi kami terletak berdekatan Zoo Melaka, Taman Rama-Rama dan banyak lagi,” katanya kepada MHI.
Sementara itu, Pengurus Besar The Straits Hotel & Suites, Rudy Putra berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan pengumuman pelaksanaan PKPP.
“Pihak kami menggalas sepenuh tanggungjawab dengan memulakan semula operasi bagi merancakkan sektor pelancongan di negeri ini.
“Pengunjung tidak perlu risau, segala kemudahan di hotel mengikut SOP yang ditetapkan, bagaimanapun perkhidmatan dan fasiliti seperti kolam renang dan sauna masih tidak dibenarkan di sini,” katanya.
Untuk rekod PKPP yang bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos ini menyaksikan lebih banyak kelonggaran diberikan termasuk perjalanan rentas negeri kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan dan ekonomi dibenarkan beroperasi.