Tembikai ‘gergasi’ tanpa biji dari Tehel
BEMBAN 1 Mei – Siapa sangka tembikai bersaiz ‘gergasi’ yang menjalar di sebuah ladang di Tehel, di sini, rupanya menjadi antara produk kebanggaan Melaka yang dipasarkan di luar negara.
Toh Soon Heng, 53, membuktikan pengalaman selama 20 tahun hasil kerja keras dan semangat mahu belajar membuahkan hasil apabila produk itu menjadi rebutan di Hong Kong, China dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Anak jati Selandar itu berkata, pada awalnya dia hanya mengusahakan tanaman berkenaan di kampung halamannya, namun dek kerana permintaan kian meningkat, tanaman itu diperluas di kebun keduanya di Tehel.
“Uniknya tembikai ini kerana ia tiada biji seperti tembikai lain, untuk mendapatkan hasil yang baik kita perlu tahu proses pendebungaan atau ‘kahwin bunga’ tembikai ini.
“Buah tembikai sudah masak akan dipetik selepas 70 hari, biasanya di kebun saya paling berat pernah mencecah sehingga 12 kilogram sebiji.
“Untuk tembikai gred A, biasanya ia mencecah lebih lima kilogram (kg), gred B empat hingga lima kg dan gred C bermula dengan satu kg,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut bapa kepada tiga anak itu, setiap kali tuaian, dia mampu memperoleh hasil sehingga 60 tan, yang mana selain luar negara, tembikai itu turut mendapat permintaan dalam negara seperti di Johor dan Kuala Lumpur.
Bercerita lebih lanjut, Soon Heng berkata, bagi tanaman di kebunnya seluas 4.45 hektar di Tehel, dia telah membelanjakan kira-kira RM50,000 bagi pembelian benih, pembajakan tanah, baja serta lain-lain.
Menurutnya, antara cabaran yang terpaksa ditempuh ialah faktor cuaca yang mana tanaman tembikai tidak boleh bertahan sekiranya cuaca kerap hujan atau terlalu panas.
Katanya, jika berlaku kerosakan daun-daun pokok juga, dia terpaksa memulakan semula proses tanaman itu.
“Setiap hari saya akan pastikan tanaman disiram sebanyak dua kali iaitu pada waktu pagi pukul 10 dan pukul empat petang, tetapi untuk pokok yang kecil hanya disiram sekali sehari,” katanya.
Jelas Soon Heng, tembikai itu dijual pada harga RM2 sekilogram bergantung pada gred jika ia diambil secara terus dari kebun.
“Pada Ramadan dan Aidilfitri tahun ini, memang banyak permintaan saya terima daripada pelanggan.
“Jika harga kita berikan bertepatan dengan kemampuan mereka, jadi permintaan akan bertambah banyak dan jika harga lebih tinggi kita kena pandai cari pelanggan baharu untuk menjual tembikai ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.