Telur ayam: Kekurangan bekalan dijangka selesai dalam masa terdekat
KUALA BERANG, 5 Feb – Masalah kekurangan bekalan telur ayam di pasaran yang dihadapi pengguna sejak kebelakangan ini, dijangka pulih dalam tempoh terdekat.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata kementerian sentiasa melakukan pemantauan, pemeriksaan dan kutipan data daripada 50 syarikat yang mewakili 80 peratus pengeluaran telur di seluruh Malaysia, untuk memastikan keberadaan bekalan telur ayam dalam pasaran.
Namun katanya peningkatan kadar pembelian telur ayam sebelum, semasa dan selepas Tahun Baharu Cina, selain ladang ternakan serta syarikat logistik penghantaran yang tidak beroperasi sepanjang cuti perayaan itu, menyumbang kepada gangguan bekalan telur ayam di pasaran.
“Berdasarkan data yang kita ada, penggunaan telur ayam di Malaysia adalah sebanyak 30 juta biji sehari maknanya hampir seorang sebiji (makan telur ayam) sehari, jadi ia merupakan penggunaan yang cukup banyak.
“Minggu ini memang kita nampak kekurangan stok, jadi dalam Februari ini stok akan lebih daripada apa yang diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Dataran Pasar Tani Kuala Ping, di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya kekurangan bekalan ayam di pasaran yang turut dihadapi pengguna juga akan selesai pada akhir bulan ini, memandangkan aktiviti pengeluaran ayam akan ditingkatkan selepas musim cuti perayaan Tahun Baharu Cina.
“Memang data menunjukkan bulan Februari kita kekurangan tiga juta ekor ayam. (Kebiasaannya) Kita menggunakan untuk satu hari sebanyak dua juta ekor ayam, ertinya sebulan (sebanyak) 60 juta ekor. (Tetapi) bekalan ayam pada Februari memang kekurangan iaitu hanya sebanyak 57 juta ekor. Februari ini dijangka lebih 60 juta pengeluaran ayam, jadi bulan ini juga selesai isu ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Rosol berkata para pembekal dan pengusaha ladang ternakan ayam, kini diarahkan untuk mengemukakan laporan jumlah stok bekalan ayam secara mingguan kepada pihak kementerian, bagi membolehkan langkah segera diambil sekiranya bekalan bahan makanan itu berkurangan.
“Sebelum ini mereka memaklumkan kepada kita secara berkala, maknanya bila ada isu baru kita dimaklumkan. Tetapi arahan terbaru ini mereka kena maklumkan kepada kita secara mingguan supaya senang kita pantau, dan kita boleh jangkakan sekiranya akan berlaku kekurangan dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu Rosol berkata kerajaan mengambil langkah proaktif dalam memastikan bekalan minyak masak peket 1 kilogram sentiasa berada di pasaran, antaranya dengan menghadkan kepada hanya tiga peket bagi setiap pembelian.
Katanya kerajaan juga melakukan pemantauan rapi sekiranya terdapat pihak tidak bertanggungjawab membeli minyak masak peket yang ditetapkan pada harga RM2.50 sepeket dengan banyak, untuk dicampur dengan minyak masak terpakai yang kemudiannya akan dijual kepada industri biodiesel dengan harga kira-kira RM4.50 sekilogram.
Dalam perkembangan lain Rosol berkata PJKM yang dijalankan di 24 lokasi seluruh Terengganu bermula 2 Dis 2021, setakat ini telah menjana hasil jualan sebanyak RM969,000 melibatkan kehadiran pengunjung seramai hampir 20,000 orang.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.