Sorting by

×

Tekoma wajah baharu Taman Rekreasi Durian Daun

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

LENDU 22 Okt – Taman Rekreasi Durian Daun bakal berubah wajah dengan dihiasi ‘bunga sakura’ apabila penanaman pokok tekoma di sepanjang laluan masuk ke taman itu berbunga dalam tempoh empat tahun lagi.

Setiausaha Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Datuk Saleh Mohd Dom berkata, sebanyak 60 batang pokok tekoma telah ditanam di sepanjang laluan masuk taman bagi memperindah dan menceriakan lagi persekitaran kawasan rekreasi tersebut.

Menurutnya, pokok tekoma dilihat popular dalam kalangan penduduk daerah Masjid Tanah dan pelancong luar untuk mengunjungi Bandar Baru Masjid Tanah setiap kali ia mengeluarkan bunga setiap tahun.

“Disebabkan itu, kita akan memperluaskan penanaman pokok tekoma di lokasi lain bagi menarik kunjungan orang ramai sekali gus membantu meningkatkan sektor pelancongan negeri pada masa depan,” katanya.

Taman Rekreasi Durian Daun bakal dihiasi deretan pokok tekoma yang berbunga umpama pokok sakura yang popular di negara Jepun.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Yang Dipertua MPAG, Mohd Fadhil Hassan melakukan acara penanaman pokok tekoma dan melepaskan 10,000 benih anak ikan jenis lampam, baung dan talapia di tasik Taman Rekreasi Durian Daun.

Menurutnya, lebih banyak pokok tekoma akan ditanam dalam kawasan pentadbiran MPAG bagi menambah lokasi tumpuan pelancong di daerah itu pada masa depan.

“Seperti yang berlaku di Bandar Baru Masjid Tanah, kawasan ini pasti menjadi tumpuan pelancong pada setiap tahun setiap kali musim bunga di mana mereka beramai-ramai mengambil kesempatan untuk bergambar di situ.

“Ia sekali gus memberi nilai tambah dan meningkatkan populariti daerah Masjid Tanah dan kita mahu usaha yang sama dilakukan di lokasi-lokasi lain yang berpotensi menjadi tarikan pelancong,” katanya.

 

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1668
Kongsi :
Previous post SOP Khas PRN akan dikeluarkan – Exco
Next post PPV Melaka tutup awal November depan
Ubah saiz-+=