Sorting by

×

TEKNOLOGI DRON REVOLUSI SEKTOR PERTANIAN, JIMATKAN MASA

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

MERLIMAU 23 Januari – Pelbagai teknologi terkini termasuk dron akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu pesawah di Melaka meningkatkan lagi hasil tuaian mereka pada setiap musim.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, cadangan itu juga sudah dipersetujui Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan agensi berkaitan.

“Kita baru sahaja memperkenalkan benih padi MR297, terdahulu kita mengaplikasikan teknologi transplanter dan apa yang kita hendak cuba pula (teknologi baharu) adalah penggunaan dron secara meluas.

“Melaka ini berada luar kawasan jelapang dan penggunaan dron amat terhad tetapi kali ini kita akan pelbagaikan,” katanya ketika ditemui selepas Program Walkabout Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ke Projek Benih Padi Negeri Melaka di Sawah Tengah Padang, Merlimau, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Melaka, Rozli Azizi Talib

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau berkata, sebagai permulaan satu unit dron akan digunakan bagi melihat keberkesanan teknologi itu dalam membantu pesawah.

“Dengan bantuan Kerajaan Negeri, Jabatan Pertanian dan beberapa agensi berkaitan kita akan dapatkan satu unit dron untuk melihat keberkesanannya.

“Usaha ini juga selaras hasrat Kerajaan Negeri untuk mengusahakan tanah sawah terbiar selain proses mewartakan tanah sawah dapat dilaksanakan pada tahun ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

115
Kongsi :
Previous post JEJANTAS TUN TEJA JADI ‘LUBUK’ REZEKI
Next post SUMBANGAN UKIR SENYUMAN MASYARAKAT TIONGHOA ALOR GAJAH
Ubah saiz-+=