Teknologi AI, hologram ‘hidupkan’ Pameran Hang Tuah

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

AYER KEROH 25 Jun – Pameran Hang Tuah yang diadakan di Hall A Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini menjadi pameran pertama yang menggunakan teknologi dan inovasi kecerdasan buatan (AI) serta hologram.

Ketua Penyelidik Kajian Memperkukuh Kewujudan Hang Tuah, Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora berkata, teknologi yang diguna pakai itu bukan sahaja memudahkan pengunjung memahami fakta sejarah, bahkan ia juga menjadikan watak legenda itu lebih ‘hidup’.

“Penyelidikan dan kajian Hang Tuah ini kita mulakan pada lapan bulan lalu atas saranan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang mahu membetulkan dan meluruskan fakta sejarah berkaitan Hang Tuah untuk tatapan generasi akan datang.

“Pameran ini kita selitkan dengan penggunaan teknologi dan inovasi yang canggih bersesuaian dengan masa kini untuk memudahkan pengunjung menghadam dan menerima fakta sejarah yang dipaparkan.

“Pameran ini bukan setakat pameran sahaja namun ia menjadi permulaan mengetengahkan legenda Laksamana hang Tuah untuk paparan masyarakat dalam konteks teknologi terkini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Penasihat Utama Projek Dokumentari Hang Tuah, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak dan pelakon, Fattah Amin mengadakan lawatan ke Pameran Hang Tuah di MITC, di sini, semalam.

Untuk rekod, Pameran Hang Tuah di MITC bermula 10 Jun hingga 7 Julai depan beroperasi setiap hari iaitu bermula 10 pagi hingga 6 petang pada Isnin hingga Khamis, manakala Jumaat hingga Ahad akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Tiket masuk bagi dewasa ialah RM15 (Pemegang MyKad); warga emas dan kanak-kanak RM5.00; manakala pelancong asing dewasa RM20 dan pelancong kanak-kanak RM10.

Manakala, harga tiket bagi penyertaan pelajar sekolah secara berkumpulan juga hanya RM100 membabitkan 40 pelawat.

Pemeran berkenaan dibahagikan kepada beberapa ruang galeri mengenai pengkisahan riwayat hidup, keperibadian, koleksi manuskrip, dan artifak yang dikongsikan dari dari Kepulauan Bentan, Singapura dan Pattani, termasuk keris 9 lokasi dari muzium Okinawa, Jepun, dan dokumen Rekidai Hoan dari kerajaan Ryukyu.

Terokai juga sejarah Laksamana Hang Tuah dan dapatan kajian terkini yang mengukuhkan kewujudan beliau melalui sumber-sumber baharu yang ditemui dari serata dunia seperti Belanda, Jepun, India, Portugal, China, Indonesia, dan Thailand.

Pameran itu juga membawa pengunjung melihat replika meriam terbesar zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu ‘Peca de Malacca” yang ditemui di Muzium Militari Lisbon, Portugal, selain paparan zon interaktif yang menampilkan Silat Hang Tuah, artifak, manuskrip dan filem mengenai kehebatan Laksamana Hang Tuah yang dipentaskan di India.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

305
Kongsi :
Previous post Mayat warga emas ditemui terapung di Tasik Biru Chin Chin
Next post Kampus Lestari diperluas, perkasa kesedaran alam sekitar di IPT
Ubah saiz-+=