Tekad Faris rebut tempat dalam kesebelasan utama

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

TONGGAK pertahanan Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC), Faris Shah Rosli melaungkan ikrar untuk mencabar tempat dalam kesebelasan utama pasukan musim ini biarpun tidak selalu diberi kesempatan beraksi penuh sebelum ini.

Anak kelahiran Kelantan itu mengakui disaing hebat Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman dan Khairul Anwar Shahrudin untuk merebut tempat di posisi pertahanan dalam kesebelasan utama sebelum ini.

Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu cabaran itu tidak pernah melemahkan semangatnya, sebaliknya dia lebih bersemangat untuk sentiasa melakukan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

“Jujur saya cakap memang mencabar untuk rebut tempat sebagai pemain utama sebelum ini apabila bersaing dengan kedua-dua pemain itu.

“Tetapi, walaupun tidak semua perlawanan saya diletakkan dalam kesebelasan utama, jurulatih (Zainal Abidin Hassan) masih memberi peluang kepada saya untuk pertaruhkan aksi di atas padang walaupun sebagai pemain simpanan.

“Yang penting, setiap peluang yang diberi saya akan pastikan ia tidak akan sia-sia dan mahu sentiasa memberikan yang terbaik untuk pasukan ini,” katanya dalam wawancara bersama Liga Bolasepak Malaysia (MFL), baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Faris Shah mengakui masih belum puas menimba pengalaman bersama Melaka meskipun sudah hampir empat musim beraksi untuk skuad Hang Tuah.

Ini merupakan musim keempat bekas kapten pasukan skuad bawah 22 tahun negara itu beraksi bersama Melaka sejak meninggalkan pasukan Kelantan pada pertengahan musim 2018 dan merasakan sudah cukup selesa untuk terus menabur bakti kepada skuad kendalian Zainal Abidin dalam saingan Liga Super musim ini.

Jelasnya, walaupun agak bergelut untuk kembali mencipta nama selepas menempuh fasa kecederaan ligamen arterior krusiat (ACL) sebelum ini (2017), Faris tetap bersyukur apabila masih diberi peluang dan kepercayaan untuk bersama pasukan itu.

“Ini tahun keempat saya bersama Melaka dan saya sememangnya cukup selesa beraksi dengan pasukan ini selepas berbakti dengan Kelantan selama dua musim sebelum ini.

“Rakan-rakan sepasukan juga cukup membantu saya sehinggalah sekarang dan itu yang membuatkan saya rasa sayang nak tinggalkan pasukan ini dan pastinya masih belum rasa puas.

“Kalau nak ikutkan, sebagai pemain yang pernah berdepan kecederaan ACL, memang bukan mudah untuk saya beraksi seperti saya lakukan sebelum saya cedera.

“Jadi, saya sendiri yang kena paksa diri untuk berusaha lebih keras capai prestasi yang diinginkan selagi masih ada pasukan yang percayakan kemampuan saya,” katanya lagi.

Views:

288
Kongsi :
Previous post Bina tangki besar atasi gangguan bekalan air
Next post Peniaga lemang rugi hampir RM100,000 diperdaya pelaburan syarikat perkapalan
Ubah saiz-+=