Sorting by

×

Teh tarik gula Melaka ‘signature’ terbaharu pelancongan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

BANDA HILIR 28 Jun – Minuman kegemaran ramai rakyat Malaysia, teh tarik gula Melaka diangkat sebagai produk atau ‘signature’ baharu pelancongan di negeri ini.

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, teh tarik akan diangkat sebagai antara produk melambangkan pelancongan Melaka.

Katanya, minuman itu akan dipromosikan oleh seluruh pemain industri pelancongan dan bakal menjadi tarikan pengunjung untuk singgah ke Melaka.

Zaidi berkata, minuman kegemaran ramai itu akan menjadi produk terbaharu yang menggunakan gula Melaka sebagai bahan pemanis selepas cendol dan kuih keria.

“Gula Melaka tidak asing dalam kalangan pengunjung atau pelancong datang ke Melaka. Sebelum ini kuih keria dan cendol yang menggunakan gula Melaka amat popular.

“Ini antara inisiatif kita untuk menarik lebih ramai pelancong domenstik dan antarabangsa datang ke Melaka selain antara persediaan Kerajaan Negeri memperkasa pelancongan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) sehingga menjelang sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) tahun hadapan dan diikuti Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pelancongan Negeri Melaka (MTA) di sebuah hotel di Banda Hilir, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, Ezlina Alias; Pengarah Tourism Malaysia Melaka, Shahrulnazri Shaharuddin, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron dan Presiden MTA Madelina WL Kuah.

Zaidi berkata, ahli MTA yang juga pengendali perhotelan, rekreasi, restoran, hospital juga akan mempromosikan teh tarik gula Melaka.

“Sebagai permulaan kita perkenalkan di peringkat perhotelan dahulu sebelum dipromosikan secara lebih meluas sehinggalah kepada perniagaan makanan dan minuman (f&b) berskala besar atau kecil di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

325
Kongsi :
Previous post Bersama jayakan Kajian Rancangan Tempatan MPHTJ
Next post Kakitangan Hospital Melaka maut gara-gara SUV keluar simpang
Ubah saiz-+=