Tedung selar 9kg masuk rumah selepas banjir
DURIAN TUNGGAL 5 Nov – Baharu seminggu rumah dinaiki air dalam kejadian hujan lebat yang melanda Kampung Padang Keladi, hari ini Timbalan Pengarah Perbadanan Bioteknologi Melaka, Azwan Mat Kamal dan keluarganya berdepan detik cemas apabila kediaman mereka didatangi tetamu tidak diundang.
Azwan, 32, terkejut apabila mendapati seekor ular tedung selar sepanjang tujuh meter berlingkar di bahagian bawah aquarium ikan yang terletak di hadapan rumahnya di Kilometer 7, Jalan Kampung Padang Keladi.
Menurutnya, kehadiran reptilia itu hanya disedari oleh salah seorang ahli keluarganya ketika mahu mengambil kasut yang disimpan berhampiran aquarium terbabit kira-kira pukul 2 petang.
“Ketika itu, ular tedung tersebut tidak mengeluarkan apa-apa bunyi seperti desiran dan berdiam sahaja di bawah aquarium tersebut.
“Dalam keadaan cemas itu, saya sempat membuat panggilan kecemasan untuk mendapatkan pertolongan pihak berkuasa dan Alhamdulilah, bantuan juga tiba dengan segera,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).
Beliau menarik nafas lega kerana tidak ada kejadian tidak diingini berlaku dan semua ahli keluarganya termasuk petugas keselamatan yang datang membantu berada dalam keadaan selamat.
“Saya bimbang juga kerana sebelum ular tedung itu dijumpai, saya mempunyai anak kecil berusia empat tahun namun mujur semuanya selamat.
“Anggota keselamatan beritahu ular tedung itu baharu sahaja makan, mungkin sudah terlalu kenyang dan ketika dijumpai, ular tersebut sedang tidur,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Daerah Pertahanan Awam Daerah (PDPA) Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 2.34 petang.
Menurutnya, seramai lima anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan mengambil masa selama 20 minit untuk menangkap ular tedung berkenaan.
“Sebaik tiba di rumah kediaman pengadu, anggota menemui ular tedung berkenaan pada bahagian bawah aquarium ikan di hadapan rumah.
“Kita menggunakan pengepit ular dan berjaya menangkap ular tersebut dalam masa 20 minit,” katanya.
Menurut Abdul Hadi, pihaknya mengesyaki ular tedung berkenaan datang dari kawasan hutan yang terdapat di belakang rumah pengadu.
Beliau berkata, ular seberat sembilan kilogram itu kemudiannya dibawa ke pejabat PDPA Alor Gajah untuk tindakan lanjut.
Katanya, tangkapan binatang berbisa itu dijangka bertambah berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini yang menyebabkan reptilia itu mencari tempat berlindung.
Beliau turut meminta penduduk khususnya mereka yang tinggal berhampiran kawasan hutan dan semak samun agar lebih berwaspada dengan kehadiran reptilia itu dan meminta kerap membersihkan kawasan persekitaran rumah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.