Tebus kegagalan, raih 7A dalam SPM
TELOK MAS 27 Jun – Kegagalan kali pertama bukan penghalang buat seorang pemuda untuk bangkit membuktikan dia mampu melakar kejayaan.
Hanya ingin dikenali sebagai Aiman, 20, dia yang juga pelajar Sekolah Henry Gurney, berkata, keputusan untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kali kedua pada tahun lalu adalah inisiatif dirinya sendiri.
Katanya, ketika tahun 2020 dia hanya memperoleh keputusan 2A dan itu membuatkannya nekad untuk mencuba sekali lagi dan mendapat 7A 1C 1D pada SPM 2022.
“Sudah pasti apabila saya jejak kaki ke sini, emak dan ayah kecewa dengan apa yang saya lakukan jadi saya cuba menebus kembali kesalahan itu.
“Apa yang membuatkan saya lebih terkesan ketika ayah meninggal pada 2021 dan saya tidak dapat melihatnya. Alhamdulillah emaklah penguat semangat untuk saya terus bangkit,” katanya yang tidak mendedahkan kesalahan dilakukannya.
Aiman ditemui selepas Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia 2022, yang disempurnakan Pengarah Bahagian Pengurusan Banduan, Komisioner Ajidin Salleh, di Sekolah Henry Gurney.
Menurut anak sulung daripada dua beradik itu, bantuan daripada pendidik dan warden juga menjadi penyumbang kepada kecemerlangan keputusan SPM diperolehnya.
“Di sini kami tiada gajet jadi tumpuan pembelajaran sepenuhnya secara manual dan semuanya menulis menggunakan tangan jadi itu amat membantu.
“Selain pembelajaran dalam kelas, kami banyak diberikan rujukan dan latihan soalan-soalan ‘spot’, Alhamdulillah kesungguhan dan keazaman untuk mengubah keputusan dapat dicapai,” katanya yang dimasukkan ke Sekolah Henry Gurney pada Julai 2020.
Ujarnya, kesilapan lalu banyak mengajarnya untuk lebih menghormati dan mendengar nasihat seorang ibu.
Sementara itu, Ajidin berkata, pencapaian SPM 2022 bagi Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney mencatatkan pencapaian 100 peratus lulus selain berada di bawah Gred Purata Sekolah (GPS) Kebangsaan dengan 4.20.
“Keseluruhan menunjukkan pencapaian lebih baik dari tahun sebelumnya dan ada sekolah kita yang menjangkau pencapaian saujana iaitu Sekolah Integriti Kota Kinabalu, Sabah dengan GPS 2.73.
“Melihat kepada faktor pencapaian, ia bukan sahaja komitmen daripada pelajar bahkan juga pendidik dengan didikan serta motivasi ia menunjukkan pelajar ini masih mampu berjaya walaupun terkeluar dari sistem pendidikan arus perdana,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.