Tebing runtuh ancam keselamatan Hairuddin
TABOH NANING 23 Sept. – Hujan lebat lewat petang kelmarin mengakibatkan tebing sungai runtuh dan mengancam keselamatan tujuh sekeluarga di Kampung Sungai Buloh, di sini.
Mereka diancam bahaya tanah runtuh yang hanya kira-kira satu meter dari kediaman mereka selepas tebing sungai setinggi kira-kira enam meter menggelongsor kira-kira jam 6.15 petang.
Hujan lebat mulai jam 5.30 petang pada Isnin menyebabkan tebing berkenaan melorot dalam tempoh kira-kira 15 minit, sekali gus mengancam kediaman Hairuddin Bakar, 47, dan isteri, Normah Abu Bakar, 40, serta lima anak berusia antara 10 hingga 19 tahun.
Hairuddin berkata, ketika kejadian, beliau tiada di rumah kerana membeli barang di pekan Simpang Ampat, di sini dan terkejut apabila isterinya menghubunginya untuk memaklumkan mengenai kejadian pada jam 6.15 petang.
“Saya segera pulang dan terkejut apabila mendapati tebing setinggi kira-kira enam meter bersebelahan dapur sudah runtuh.
“Saya segera membawa isteri dan anak keluar dari rumah dan berpindah ke rumah ibu saya kira-kira satu kilometer dari sini,” katanya ketika ditemui di kediamannya semalam.
Berikutan itu, mereka dinasihatkan Jurutera Daerah (JD) Jabatan Kerja Raya (JKR) Alor Gajah, Hafrin Salleh supaya mengosongkan kediaman berkenaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Normah berkata, beliau terdengar lantai kaki lima dapur pecah pada jam 6.15 petang sebelum menggelongsor sedikit demi sedikit ke dalam sungai.
“Saya amat takut melihat tanah menggelongsor perlahan-lahan dan segera menghubungi suami, selain membawa lima anak untuk berlindung di anjung rumah.
“Kami merasakan dapur rumah boleh runtuh bila-bila masa tetapi alhamdulillah, Allah menyelamatkan kami daripada bahaya dan runtuhan tanah terhenti pada jarak kira-kira satu meter dari dapur,” katanya.
Sehubungan itu, malam tadi mereka menumpang tidur di kediaman ibu mentuanya yang kosong berikutan kedua-dua ibu bapa mentuanya sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu.
Sementara itu, Hafrin ketika dihubungi berkata, jurutera JKR sudah meninjau lokasi kejadian dan mencadangkan kerja pembaikan tebing sungai dijalankan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Bangunan kediaman itu masih dalam keadaan baik tetapi lantai dapurnya sudah terlalu hampir dengan runtuhan dan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, ia harus dikosongkan,” katanya.
Turut meninjau lokasi kejadian ialah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning Datuk Latipah Omar.