Sorting by

×

Teater peranakan warna budaya dan warisan

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 31 Oktober – Teater Peranakan Pukol Anak Sinday Menantu dianggap sebagai pementasan ‘magis’ etnik peranakan kerana merangkumi pelbagai budaya dan warisan.

Presiden Persatuan Pelancongan Negeri Melaka, Madelina Kuah berkata, teater perdana yang julung kali dianjurkan itu merupakan salah satu strategi untuk menarik lebih ramai pelawat menerusi pelancongan budaya di Negeri Melaka.

Katanya, teater itu merupakan acara kemuncak sempena sambutan Festival Kemegahan Budaya Baba Nyonya yang berlangsung selama tiga hari dari 28 hingga 30 Oktober lalu.

“Pementasan teater peranakan ini sebenarnya penutup tirai bagi festival yang berlangsung tiga hari dengan tema ‘warisan seni budaya Baba Nyonya Melaka’ mengetengahkan pelbagai aktiviti berteraskan seni budaya dan warisan.

“Wayang peranakan ini menjadi wadah dalam menghimpunkan bakat terdiri daripada anak-anak tempatan di Negeri Melaka dengan sebahagiannya memang berjiwa peranakan seperti Baba Nyonya dan Portugis,” katanya.

WhatsApp Image 2022-10-31 at 4.28.31 PM
MADELINA Kuah

Menurutnya, kisah yang dipentaskan adalah berlatarbelakangkan masyarakat pelbagai keturunan yang hidup dalam komuniti Peranakan Melaka yang mementingkan status sosial.

Jelasnya dengan lima babak penting, teater peranakan ini mengisahkan hubungan dua keluarga yang pada mulanya rapat, namun mula menjadi dingin apabila timbul salah faham antara mereka.

“Perkara ini berlarutan apabila kedua-dua keluarga mendapati anak-anak mereka yang belajar di luar negara telah pulang untuk kembali berkhidmat di tanahair, berjumpa dan secara kebetulan jatuh cinta.

“Pelbagai konflik selain insiden berlaku menyebabkan akhirnya kedua-dua keluarga kembali bersatu dan aman apabila jiran-jiran terdekat sama-sama berusaha kembali menyatukan mereka.

“Pertembungan generasi baharu dan lama dalam teater semi muzikal ini turut disulami lagu-lagu peranakan yang dimainkan secara langsung oleh pemuzik kombinasi peranakan Keluarga Malaysia Melaka serta para artis budaya Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2157
Kongsi :
Previous post PMM kongsi kepakaran Bahasa Inggeris, TVET di Indonesia
Next post Agong jalani prosedur, pemeriksaan kesihatan susulan di IJN
Ubah saiz-+=