Tayar terpakai jadi hiasan bernilai

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

ASALNYA adalah untuk mengisi masa terluang dengan mengolah tayar terpakai untuk dijadikan hiasan halaman rumah, namun kini menjadi sumber pendapatan utama keluarga.

Itu kisah Muhammad Akhmal Adib, 30, bersama isteri, Nuradini Baharudin, 25, kini menempa nama sebagai antara tiga usahawan kreatif yang aktif mengusahakan kraftangan berasaskan tayar terpakai di Negeri Melaka.

Berkongsi pengalamannya Muhammad Akhmal berkata, dia terpaksa menempuh tempoh masa yang amat memeritkan selepas hilang pekerjaan sebagai jurukimpal di sebuah bengkel di Durian Tunggal selepas kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik COVID-19.

“Majikan minta saya cari kerja lain, ketika itu saya bingung apa boleh dibuat untuk jana pendapatan dan menyara keluarga. Mungkin sudah rezeki saya olah tayar terpakai untuk dijadikan hiasan, alhamdulillah sekarang permintaan datang dari seluruh pelusuk negara.

“Hasil kerja tangan saya menarik minat jiran, apabila permintaan semakin tinggi isteri cadangkan agar produk itu dipromosikan di media sosial. Alhamdulillah, sekitar Jun kami bangkit semula dan isteri adalah pembakar semangat saya hingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini.

tayar terpakai jadi permata 7
PERHIASAN bentuk angsa dihasilkan Muhammad Akhmal.

Muhammad Akhmal kini boleh berbangga kerana mempunyai perniagaan sendiri yang berdaftar dan bercadang untuk meluaskan lagi pasaran produk dihasilkan.

Katanya selain daripada kreativiti dia turut meneliti teknik menghasilkan barangan perhiasan berdasarkan video yang dikongsi di platform media sosial dan carian di internet.

Sejak itu dia mula menghasilkan pelbagai jenis perhiasan berasaskan tayar terpakai seperti papan tanda, bakul, set meja kopi, karikatur angsa, katak, siput dan motosikal.

Lebih membanggakan Muhammad Akhmal mengembangkan perusahaan itu menggunakan modal sendiri tanpa sebarang pembiayaan luar dan setakat ini sudah menghasilkan hampir 2,000 unit pelbagai jenis perhiasan kraftangan.

tayar terpakai jadi permata 2
ANTARA rekaan yang disiapkannya perlu dicat menggunakan cat minyak dengan kaedah semburan atau menggunakan berus.

“Kalau dulu untuk siapkan seunit pasu mengambil masa yang lama, jari kerap pula kerap luka. Tapi sekarang apabila sudah semakin mahir saya boleh siapkan 30 pasu setiap hari berbanding 10 sahaja sebelum ini.

“Tempahan banyak diterima menerusi media sosial, pelanggan daripada seluruh Semenanjung Malaysia dan majoriti boleh dikatakan mereka ini adalah guru dan mereka tinggal di kawasan Felda.

“Tidak kurang juga pelanggan dari Kedah dan Perak yang terus datang ke rumah. Penghantaran menggunakan perkhidmatan kurier tetapi kalau banyak saya akan sewa lori untuk hantar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4512
Kongsi :
Previous post Sokong usaha naik taraf MBMB jadi dewan bandaraya
Next post Melaka teroka potensi jadi hab nomad digital utama Asean
Ubah saiz-+=