TAWARAN MASUK PERCUMA HADIAH BERMAKNA BUAT RAKYAT MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 27 Ogos – “Ini adalah hadiah paling bermakna daripada Kerajaan Negeri kepada rakyat Melaka. Menerusi tawaran ini ibu bapa khususnya dapat membawa anak-anak bersiar-siar.

“Ibu bapa juga tidak perlu pening fikirkan soal tiket, boleh belanja lebih untuk perkara lain seperti beli makanan, minuman atau cenderahati bagi menceriakan lagi anak-anak,” kata rakyat Melaka Mimie Azura Abu Bakar, 43.

Katanya, dia dan suami memanfaatkan tawaran masuk percuma ke lokasi pelancongan tumpuan bermula 24 Ogos hingga 31 Disember ini dengan mengunjungi Zoo Melaka bersama dua anak mereka pada Ahad lalu.

Mimie Azura berkata, proses pendaftaran di saluran Telegram MyMelaka News bagi mendapatkan kod ‘QR’ bagi tujuan penebusan tiket juga tidak rumit.

“Tawaran membabitkan lima lokasi pelancongan, tetapi kami memilih Zoo Melaka, kerana masuk adalah percuma wang dikhaskan untuk tiket digunakan bagi membeli makanan haiwan.

“Saya dan suami berasa sangat seronok melihat gelagat anak-anak yang ceria ketika memberi haiwan makan. Hasrat Kerajaan Negeri agar rakyat Melaka memanfaatkan tawaran ini bagi menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga bagi saya tercapai,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, inisiatif cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf itu juga amat membantu memeriahkan lagi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) sedang berlangsung ketika ini.

“Jadi kepada rakyat Melaka dan mereka yang bermastautin di negeri ini rebutlah tawaran istimewa yang terbuka, sama-sama kita meriahkan sambutan TMM2024,” katanya.

Selain Zoo Melaka, tawaran masuk percuma turut membabitkan lokasi pelancongan seperti Menara Taming Sari dan muzium kendalian Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).

Sementara itu Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) pula menawarkan kemasukan percuma bagi dua produknya iaitu Melaka River Cruise (MRC) dan Eco-Cruise Sungai Linggi.

Rakyat Melaka dan pemastautin tetap di negeri ini disarankan supaya meneliti syarat ditetapkan pihak pengurusan setiap produk pelancongan berkenaan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2584
Kongsi :
Previous post BAPA TIRI, IBU KANDUNG DIDAKWA BUNUH ANAK PEREMPUAN
Next post KERUSI BERTINGKAT UNTUK KESELESAAN PENGUNJUNG SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN
Ubah saiz-+=