Sorting by

×

Tawar kemahiran percuma kepada OKU

Masa Membaca:2 Minit, 21 Saat

MASJID TANAH 22 Februari – Susulan pelbagai pencapaian dan pengiktirafan diterima, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Seri Malindo, Masjid Tanah, kini diangkat sebagai Pusat Latihan Kemahiran orang kurang upaya (OKU) Negeri Melaka (Pulakom).

Pengerusi PDK Seri Malindo, Hanafiah Othman berkata, pihaknya menawarkan kursus kemahiran asas jahitan percuma kepada OKU untuk dimanfaatkan bagi menjana ekonomi sendiri.

Hanafiah berkata, sebagai Pulakom pihaknya menyediakan pelbagai modul asas jahitan kepada peserta dalam kalangan OKU.

“Bila sudah sempurnakan modul kerja pelatih dan selesai menjalani kursus mereka ini akan diberikan sijil,” katanya.

ASAS PDK SERI MALINDO

Selain didedahkan kemahiran jahitan, PDK Seri Malindo turut mendedahkan peserta dengan ilmu kemanusiaan dan cara bersosial agar golongan istimewa itu mampu berdikari serta menguruskan diri sendiri.

Menggunakan tiga pendekatan program iaitu pencegahan, pemulihan dan pembangunan, usaha itu akan menjadi satu rasionalisasi bagi pembangunan OKU pada masa akan datang.

Jelasnya, menerusi pencegahan ia lebih kepada keterlibatan masyarakat dalam kesedaran didikan OKU daripada aspek kesihatan dan kekeluargaan.

“Menerusi program ini kita akan dedahkan kepada orang ramai mengenai OKU dalam aspek kesihatan dan kesuburan dalam sesebuah keluarga yang perlu ditekankan.

“Kedua adalah pemulihan PDK ini juga menjalankan program-program pemulihan kepada OKU dengan memberi pendedahan kepada aktiviti harian seperti mana yang dilalui oleh individu normal.

“Ia kebiasaannya membabitkan mereka yang terlantar, tidak boleh bercakap. Kami tidak mereka ini berasa terasing atau disisih. Jadi mereka ini didedahkan dengan aktiviti bersesuaian seperti
menguruskan dan mengemaskan,” katanya.

Katanya aspek pembangunan pula ialah menjurus kepada peningkatan seperti dalam program EEP dijalankan pusat itu.

“Kita kena fikirkan kehidupan mereka selepas tamat kursus, aspek pengurusan wang, mampukah mereka menguruskan diri untuk memperkasa ekonomi sendiri nanti.

“Sebolehnya kita tidak mahu mereka ini terus bergantung kepada keluarga khususnya ibu bapa. Berikutan itu kita sentiasa memikirkan cara agar mereka ini tidak terus-menerus bergantung kepada ibu bapa.

“Inilah tugas kami, persiapkan mereka dalam aspek ekonomi dan sosial demi kelangsungan hidup mereka nanti,” katanya.

MASYARAKAT PERLU SEDAR DAN MEMBANTU

Kesedaran masyarakat yang mempunyai ahli keluarga OKU masih lagi ditakuk lama dan apa yang dikesalkan Hanafiah ada ibu bapa ‘menyorok’ anak mereka atas alasan mahu atau kekangan lain.

Katanya masyarakat perlu mengubah cara berfikir dan ditangani segera, kerana OKU juga perlu diberi pendedahan mengenai kehidupan seperti individu normal.

“Mendidik anak istimewa bukan mudah, hati mereka ‘halus’, bukan seperti orang biasa.

“Namun kita memahami keadaan itu kerana kesukaran mereka untuk menghantar anak ke pusat ini untuk diberikan asas kemahiran penguruskan kehidupan,” katanya.

Selain kesedaran pihaknya amat mengalu-alukan kehadiran lebih ramai sukarelawan untuk bersama-sama membantu memasarkan produk dihasilkan.

“Saya harap sukarewalan atau anak muda yang mahir perniagaan dalam talian tampil bantu kami. Menjadi impian saya untuk melihat Koperasi Usahawama PDK Seri Malindo Masjid Tanah berkembang maju.

“Semoga pemasaran yang sempurna ini mampu membantu kami untuk memasarkan produk-produk OKU ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3783
Kongsi :
Previous post Karya OKU Melaka ‘terbang’ ke Paris
Next post Angka kematian akibat gempa bumi kuat di selatan Turkiye meningkat kepada 42, 310
Ubah saiz-+=