Sorting by

×

TAUHU HALALAN TOYYIBAN, AIR TANGAN BEKAS JURURAWAT

Masa Membaca:2 Minit, 17 Saat

MERLIMAU 13 November – Keputusan wanita ini untuk berhenti daripada berkhidmat sebagai jururawat dan fokus kepada perniagaan lima tahun lalu tidak sia-sia apabila produk tauhu dikeluarkan kini mendapat sambutan amat menggalakkan.

Siti Khadijah Abdullah, 52, berkata keputusan dibuat itu agak berat memandangkan dia sudah berkhidmat sebagai jururawat selama 20 tahun termasuk bertugas di pusat perubatan di luar negara.

Katanya, selain minat kepada bidang keusahawanan keputusan itu juga didorong kemahuan untuk melihat umat Islam menikmati tauhu yang diyakini daripada aspek halal dan kebersihan atau halalan toyyiban.

Jelasnya, semua itu bermula apabila dia terbaca artikel melaporkan mengenai serbuan pihak berkuasa ke sebuah permis memproses tauhu yang kotor.

Malah pendedahan itu turut menyebabkan Siti Khadijah trauma untuk menjamah tauhu, menyebabkan dia semakin cerewet dalam memilih makanan berkenaan.

“Jika teringin hendak makan saya akan pastikan tauhu itu dikeluarkan pengusaha Muslim. Jadi saya ke Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta jabatan pertanian untuk belajar cara pembuatan tauhu.

“Kemudian pada 2019 saya jual secara kecil-kecilan kepad ahli keluarga dan jiran. Ketika itu saya masih bekerja dan hanya ingin lihat bagaimana permintaan serta sambutan, boleh katakan ketika itu saya hasilkan tidak banyak kerana semuanya dibuat secara manual,” katanya.

6163414547097043904
PRODUK Tauhu Merlimau.

Dia yang juga pengasas Tauhu Merlimau, tidak menyangka produk dihasilkan secara kecil-kecilan di rumah mendapat sambutan hingga terpaksa mengehadkan tempahan.

“Secara rasminya saya meletakkan jawatan pada Mac 2019, apabila tempahan yang diterima semakin banyak terutamanya dari kedai-kedai termasuk pasar raya.

“Tauhu yang dibuat bergantung kepada permintaan, seminggu antara tiga hingga empat kali sahaja dengan anggaran sehari kira-kira 500 keping tauhu boleh dihasilkan,” katanya.

Menurutnya, dari hari ke hari pembuatan tauhu diusahakan semakin berkembang, malah dia turut mengeluarkan beberapa produk lain yang berasaskan soya termasuk tauhu lampong, air soya dan taufufa.

“Kini dengan penggunaan mesin, saya mampu menghasilkan 1,500 hingga 2,000 keping tauhu sehari dan jumlah itu bergantung kepada permintaan.

“Selain dijual di kedai dan pasar, Tauhu Merlimau turut dipasarkan lima cawangan Mydin termasuk di Tampin dan Senawang,” katanya.

Jelas ibu kepada tiga anak itu, setiap perniagaan pastinya akan berdepan dengan cabaran dan risiko termasuklah dirinya apabila terpaksa menempuh kesukaran ketika pandemik COVID-19 selain kenaikan harga kacang soya.

“Waktu itu belum setahun saya berniaga tiba-tiba digemparkan dengan COVID-19 dan kemudiannya pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP). Agak mencabar, selain pergerakan untuk pasarkan produk juga terbatas.

“Lanjutan itu juga, harga kacang soya naik mendadak namun bukan titik noktah sebaliknya saya terus bertahan sehinggalah produk keluaran saya memperoleh Sijil Halal pada 2023,” katanya.

Menurutnya, besar harapan dirinya untuk membangunkan sebuah kilang yang lebih besar lengkap dengan kemudahan dan mesin selain ingin hasilkan sayur fucuk, tempe serta minuman kordial.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

125
Kongsi :
Previous post WARISAN MELAYU MELAKA DIPERLUAS HINGGA NUSANTARA
Next post BEKAS MENTERI KEWANGAN TUN DAIM MENINGGAL DUNIA
Ubah saiz-+=