Taska, Tadika dibenar operasi tetapi perlu dapat kebenaran – Latipah
SERI NEGERI 13 Jan. – Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) di negeri ini boleh meneruskan operasi dengan syarat mempunyai kebenaran dari agensi berkaitan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Datuk Wira Latipah Omar berkata, ibu bapa boleh menghantar anak-anak mereka, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Kerajaan benarkan taska atau tadika yang berdaftar beroperasi seperti biasa, namun perlu memaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berdekatan.
“Pengusaha perlu patuhi SOP mengikut garis panduan pencegahan penularan COVID-19 pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi keselamatan warga taska yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Jelasnya, setakat ini sebanyak 87 taska berdaftar dibenarkan beroperasi seperti biasa bermula hari ini.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 66 taska di kawasan Melaka Tengah, 10 di Jasin dan 11 di Alor Gajah.
“Pengusaha taska dan tadika diingatkan supaya mematuhi SOP, jika ingkar atau gagal kita akan memberi notis sebagai peringatan,” katanya lagi.