Sorting by

×

TASKA BEROPERASI SECARA HARAM DISITA JKM MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 6 November – Sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) disita Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas didapati beroperasi secara haram sejak dua tahun lalu.

Premis yang terletak di Batu Berendam itu turut didapati tidak menekankan aspek keselamatan apabila ada di antara lubang pembetungan tidak ditutup dengan sempurna, selain keadaan persekitaran bersemak.

Pengarah JKM negeri, Halyjah Muhammad berkata, tindakan penutupan premis terbabit dibuat selepas mendapati pengusaha masih tidak tampil mendaftar meskipun amaran secara lisan sudah dibuat pada Ogos lalu.

Katanya, selain difahamkan menempatkan seramai 14 bayi termasuk kanak-kanak, premis itu juga turut menyediakan perkhidmatan transit kepada murid sekolah.

“Di pihak JKM kami terpaksa mengambil tindakan LAK keatas premis ini selain turut mengeluarkan notis kepada pengusaha kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1988 dan Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012.

“Selain taska ini terdapat kira-kira 10 lagi taska dan pusat jagaan haram yang dikesan dan akan dikenakan tindakan sita.

“JKM akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam usaha mengesan dan mengenakan tindakan terhadap pengusaha yang perniagaan yang seakan mengambil ringan hal ini,” katanya.

Jelasnya, antara faktor yang menyumbang kepada kehadiran taska dan pusat jagaan haram disebabkan permintaan dalam kalangan ibu bapa.

“Untuk itu saya mohon kepada ibu bapa terutamanya jangan ambil mudah dan lebih peka dengan status sesebuah taska mahupun pusat jagaan sebelum menghantar anak-anak.

“Ada di antara pengusaha yang enggan berdaftar menggunakan alasan kos terlalu tinggi dikenakan untuk proses pendaftaran, hal ini sepatutnya tidak timbul apabila mereka mengutamakan keselamatan anak jagaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

600
Kongsi :
Previous post FESTIVAL MELAKA 2024 ‘LUBUK’ USAHAWAN BERJAYA
Next post MELAKA SERIUS PERKASA MASYARAKAT DESA
Ubah saiz-+=