Sorting by

×

‘TASK FORCE’ BANJIR JELAJAH SEMUA DUN

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

PAYA RUMPUT 26 November – ‘Task force’ banjir Melaka akan turun padang dan menjelajah ke setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mendapatkan butiran dan maklumat berhubung bencana banjir.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata inisiatif itu adalah antara usaha kerajaan dalam menangani bencana banjir.

Mengulas lanjut Rais berkata, task force berkenaan menggabungkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), pejabat daerah dan empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Pembabitan empat jabatan dan agensi ini amat penting, apabila turun padang kita boleh tahu siapa perlu memainkan peranan atau melaksanakan langkah susulan untuk atasi masalah banjir.

“Selain PBT, peranan JPS adalah amat penting dalam hal ini, jabatan berkenaan bertanggungjawab dalam aspek saliran. Sementara itu JKR menyelenggara longkang manakala pejabat daerah sebagai pemegang taruh terbesar yang banyak menguruskan longkang-longkang di kawasan kampung.

“Jadi menerusi mesyuarat penyelarasan banjir Negeri Melaka semalam (Isnin) kita telah memperhalusi apakah tindakan yang perlu diambil dengan segera bagi mengatasi bencana,” katanya pada sidang media selepas Program Jelajah Suntikan Semangat Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Rumput di sini, hari ini.

Hadir sama Pengetua SMK Paya Rumput, Khalid Bujang.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, setakat ini beliau bersama task force sudah ke empat DUN iaitu Rim, Kesidang, Paya Rumput dan Durian Tunggal.

“Sekarang kita dalam situasi yang boleh dikira agak genting, jadi kita terus mengerakkan task force ini dengan kadar lebih pantas. Selepas ini kita akan ke DUN dalam Parlimen Hang Tuah Jaya pula untuk mencari punca dan faktor menyebabkan berlakunya banjir,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

102
Kongsi :
Previous post MTL: MELAKA DIJANGKA ALAMI BANJIR
Next post RAIS SUNTIK SEMANGAT CALON SPM DUN PAYA RUMPUT
Ubah saiz-+=