Tasik PMM jadi pusat aktiviti, kajian kampus
MERLIMAU 4 September – Tasik di kampus Politeknik Merlimau Melaka (PMM), akan terus dihijaukan dan dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan bagi menjadikan lokasi itu sebagai pusat kajian dan aktiviti rekreasi pada masa akan datang.
Pengarahnya Norizam Sekak berkata, semalam, pihaknya menganjurkan program penanaman 164 pelbagai jenis anak pokok di sekitar tasik berkenaan.
Katanya usaha itu dijayakan dengan kerjasama agensi seperti Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Kolej Komuniti Bukit Beruang.
Menurutnya inisiatif itu adalah sebahagian usaha menyokong agenda negara mencapai sasaran Program Penghijauan Malaysia 100 juta pokok 2021-2025.
“Sekeliling kampus yang hijau dan tenang amat sesuai untuk pelbagai aktiviti rekreasi, akademik dan pastinya dimanfaatkan sebagai tapak kajian.
“Selain itu saya amat mengalu-alukan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) untuk kerjasama dalam penghasilan baja kompos, kaedah menjernihkan air dan kajian tapak solar di kawasan ini,” katanya.
Perasmian program itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif PTHM Datuk Wira Dr Abu Bakar Md Diah.
Norizam berkata, pihaknya membayangkan pada masa akan datang tasik berkenaan menjadi lokasi penganjuran aktiviti memancing dan tapak perkhemahan
“Menerusi kerjasama antara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), MPJ serta PTHM, saya berharap tasik ini didalamkan lagi agar lebih banyak aktiviti dalam dijalankan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.