Sorting by

×

Tasik Ayer Keroh jadi ‘port’ karavan, riadah

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 30 Januari – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) merancang untuk menjadikan Tasik Ayer Keroh, di sini sebagai lokasi tapak karavan yang baharu untuk Negeri Melaka.

Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata sebanyak lima unit tapak karavan akan diwujudkan di sekitar tasik rekreasi tersebut yang mana kerja-kerja pembinaannya telah bermula bulan ini.

Katanya, MPHTJ turut akan menaik taraf infrastruktur dan fasiliti yang terdapat di lokasi riadah tersebut dengan peruntukan keseluruhan RM500,000.

“Bertepatan dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) MPHTJ dalam tempoh percubaan untuk mewujudkan lima tapak karavan di Tasik Ayer Keroh.

“Untuk cadangan itu kita sudah mohon peruntukan sebanyak RM200,000 dan akan dibina tapak tersebut memenuhi syarat taman karavan yang ditetapkan.

“Manakala RM300,000 kita peruntuk untuk naik taraf kemudahan awam yang disediakan di sekitar Tasik Ayer Keroh antaranya menambah baik kawasan siar kaki, naik taraf tandas, pencahayaan dan pelbagai lagi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Sapiah memaklumkan, tasik tersebut akan bertambah rancak bermula Februari apabila pelbagai aktiviti diaktifkan.

Jelasnya, antara tarikan yang disedia ialah tapak perniagaan berbentuk kendera saji (food truck) akan menggamit pengunjung pada setiap hujung minggu.

“Selain itu, antara aktiviti riadah dan rekreasi yang sedia ada di Tasik Ayer Keroh buat pengunjung adalah ‘flyboard’, kayak dan pelbagai lagi aktiviti air.

“Setakat minggu lalu, tinjauan saya di lokasi tersebut mendapati orang ramai sering berkunjung ke tasik itu bersama keluarga dan kita akan jadikan kawasan ini antara lokasi tumpuan dalam kawasan MPHTJ selepas LeyPark Station dan Dataran Sejarah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1711
Kongsi :
Previous post Majlis graduasi hanya di sekolah, bukan hotel
Next post Keris Sapukal iringi laungan kemerdekaan di Banda hilir
Ubah saiz-+=