Tarik tali pantai antara tumpuan Karnival Melaka by The Sea 2022

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 28 September – Sebanyak 11 acara menarik termasuk acara ‘Tug of War’ atau tarik tali bakal mendapat sambutan hangat dalam Karnival Melaka by The Sea 2022 bertempat di Perkarangan Pentas Budaya Pantai Puteri, Pantai Kundor pada 29 dan 30 Oktober depan.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata hanya dua acara yang memerlukan yuran penyertaan iaitu acara ‘Tug of War’ dan kejohanan bola tampar pantai.

Katanya, manakala sembilan lagi acara adalah secara percuma untuk disertai seperti kejohanan muaythai, BMX Challenge, Wall Climbing, Arm Wrestling, Kayak, Fun Run dan pelbagai lagi.

“Karnival Melaka by The Sea 2022 ini adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) dengan kerjasama jabatan dan agensi Kerajaan Negeri sebagai usaha meningkatkan kembali pengunjung ke Pantai Puteri.

“Bagi acara Tuck of War akan disertai seramai lapan orang dalam satu pasukan dan acara ini terbahagi kepada dua kategori iaitu acara terbuka dan tertutup.

“Acara terbuka, yuran penyertaan dikenakan sebanyak RM300 kerana hadiah yang disediakan adalah bernilai RM3,000 manakala bagi kategori tertutup yuran penyertaan sebanyak RM100 dan hadiah juara bernilai RM1,000.

“Sementara itu untuk acara bola tampar pantai pula yuran penyertaan sebanyak RM150 dan segala penerangan mengenai semua acara yang dipertandingkan boleh layari laman sosial dan laman web Bahagian Promosi Pelancongan (BPP),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Matta Fair Melaka 2022 di Pejabat BPP Melaka, Kota Fesyen di sini hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar, Bahagian Promosi Pelancongan, Jabatan Ketua Menteri Melaka, Sha’ari Basiron.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata, karnival tersebut terbuka kepada semua pengunjung dalam dan luar Melaka.

Jelasnya, karnival tersebut akan melibatkan penyertaan 1,200 peserta dan disasarkan 15,000 pengunjung akan hadir.

“Kita difahamkan untuk acara-acara tumpuan sudah mendapat beberapa penyertaan dari luar termasuk dari Singapura.

“Menjadi harapan agar program ini akan menjadi sebutan dalam kalangan peserta dan secara tidak langsung dapat mempromosikan Melaka sebagai destinasi utama bagi penganjuran program ini pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2441
Kongsi :
Previous post Jom ke Matta Fair Melaka 2022 pada 8 dan 9 Oktober ini
Next post Jalan hadapan MBMB/Melaka Mall ditutup sementara pada Ahad
Ubah saiz-+=